“Saya Dah Biasa, Cuma Jangan Kecam Aina,” – Ajai Ulas Penyingkiran Isaac Voo Di Big Stage 5

Share

Juri tetap program Big Stage 5 (BS5), Ajai mengakui jawapan yang diberikan Isaac Voo antara sebab mempengaruhi pertimbangannya untuk menyingkirkan penyanyi itu pada malam Ahad.

Isaac menjadi peserta pertama BS5 yang terkeluar pada minggu kedua saingan selepas persembahannya menerusi lagu Terhangat Di Pasaran dendangan asal kumpulan KRU dan Adam gagal menambat hati juri.

Menduduki tangga tercorot menerusi markah yang diberikan juri tetap dan juri undangan, Isaac tersingkir selepas mencatatkan markah sebanyak 36.33 peratus.

“Yes, dia jawab populariti dulu.. yang saya nak ilmu dahulu sebab nak industri (muzik) kita seiring dengan populariti.

“Kita ambil contoh penyanyi zaman dahulu.. kenapa mereka masih dikenali sehingga hari ini adalah sebab penyampaian mereka ada ‘trademark’.

“Dekat sinilah (BS5) kita nak setkan ‘trademark’ individu itu untuk mewarisi penyanyi sedia ada yang bagus dalam industri. Dengan adanya kami, adalah untuk kongsi ilmu dan pengalaman dengan mereka.

“Ada orang, ada ilmu tanpa bakat. Ada orang, ada bakat tapi tiada ilmu. Jadi saya suka yang kedua.  Biar ada bakat tapi tiada ilmu,” katanya kepada MH.

Terdahulu, sejurus membuat persembahan Isaac ditanya Ajai apa tujuannya menyertai BS5, sebelum penyanyi yang berasal dari Sabah itu menjawab penyertaannya adalah untuk dirinya lebih dikenali ramai tanpa menyedari respon itu kurang digemari juri tetap tersebut.

Dalam pada itu, Ajai turut berkata dia rela dikecam netizen susulan beberapa komennya yang kedengaran sedikit ‘keras’ kerana tujuannya adalah cuma satu, iaitu atas dasar untuk mengajar generasi baharu mengenai teknik nyanyian yang betul.

“Saya dah biasa kena kecam, cuma jangan kecam Aina. Biar saya sahaja kena kecam, tak mengapa.  Tujuan kami cuma ingin berkongsi ilmu dan pengalaman dengan semua peserta.

“Setakat ini saya belum ada peserta favourite lagi sebab masih belum ada yang konsisten dalam persembahan mereka.

“Selain itu, saya lihat para peserta juga kurang mendalami dari segi penghayatan lagu malah mereka kadang-kadang seolah tidak memahami lirik lagu yang mereka nyanyikan.

“Penyanyi yang mempunyai identiti sendiri, dia akan sustained (kekal lama). Prinsip saya talent comes first, popularity akan datang kemudian,” katanya lagi.

Terdahulu, selaku juri tetap, Ajai dan Aina Abdul telah menggunakan ‘talian hayat’ Immuniti-X bagi menyelamatkan Naufal Azrin yang sepatutnya tersingkir kerana undian peminat kurang menyebelahi dirinya.

Disebabkan penggunaan Immuniti  itu, pihak juri kemudian sebulat suara memilih menyingkirkan Isaac daripada pertandingan tersebut.

BS5 menampilkan 10 finalis dari Malaysia yang bakal bersaing merebut gelaran juara termasuk Aufahanie, kumpulan COEX, Nadeera Zaini dan Puteri Khareeza.

Enam bintang lelaki pula adalah Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Putera Muhammad dan duo Dem Lepak Boyz.

Tiga peserta lain dari Indonesia diwakili oleh Waode, Farhan Shah dari Singapura dan duo Hoondoo dari Korea Selatan.

Bertemakan Flex Your Beat, 13 peserta Big Stage 5 diadili oleh juri tetap Ajai dan Aina Abdul serta juri jemputan yang berbeza setiap minggu.

Sementara itu, penyanyi Nadeera Zaini memenangi anugerah Dominasi Persembahan Terbaik sekaligus membawa pulang wang tunai RM3,000.

Empat edisi Big Stage terdahulu telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya yang terdiri daripada Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).

BS5 berlangsung selama sepuluh minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 7 Mei, setiap Ahad, jam 9 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

IKLAN