
Penyanyi remaja yang kian mencuri perhatian, Umairah memaklumkan dia akan memperlahankan perjalanan kerjaya seninya pada tahun hadapan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Umairah, jadual kerjayanya akan disusun dengan lebih teratur pihak pengurusan dan hanya menerima undangan persembahan yang tidak terlalu padat agar fokus terhadap pelajaran tidak terjejas.
Katanya lagi, dia juga sudah mula membuat persediaan lebih awal memandangkan peperiksaan tersebut sangat penting dalam menentukan hala tuju masa depannya.
“Saya akan ‘slow down’ sikit, mungkin ambil majlis yang ringan-ringan sahaja. Tak mahu terlalu berat atau banyak sangat acara sebab risau ganggu fokus SPM.
“Setakat ini pun, jadual pertengahan tahun sudah semakin awal. Jadi dari sekarang saya kena bersiap sedia untuk SPM.
“Supaya bila nak dudukinya tahun depan, tidaklah ia jadi sesuatu yang ‘menekan’ sebab kita sudah ada persiapan, Insya-Allah,” katanya.
Umairah, 16, berkata demikian ketika ditemui pada acara Tayangan Perdana & “What’s Next on Viu” yang berlangsung di Odeon, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam pada itu, Umairah tidak menafikan bukan mudah untuknya mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan penyanyi.
Bagaimanapun dia percaya usaha yang berterusan adalah kunci untuk mencapai kejayaan dalam kedua-dua bidang.
“Situasi ini memang tak senang, akademik perlukan tumpuan yang baik. Tapi apa pun kena usaha, sebab bagi saya, pelajaran adalah keutamaan.
“Kata orang kalau tak ada ilmu, orang susah nak pandang. Jadi untuk saya, ya cabaran tu memang ada, tapi saya cuba untuk seimbangkan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Umairah dilihat sebagai antara pelapis muda yang aktif memenuhi pelbagai undangan persembahan nyanyian selain melancarkan single baharu.
Namun, keputusan untuk memperlahankan rentak kerjayanya dibuat demi memastikan tumpuannya terhadap pelajaran tidak terganggu menjelang SPM.
Umairah yang juga anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebelum ini turut melakar sejarah apabila muncul sebagai pemenang termuda bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular di ABPBH 37 lalu.