
Shila Amzah
Penyanyi Shila Amzah reda menerima nasihat doktor yang menyarankannya agar tidak hamil lagi demi mengelakkan risiko kesihatan yang tidak diingini.
Menurut Shila, nasihat tersebut diberikan selepas dia menjalani dua proses kelahiran secara pembedahan kecemasan bagi kedua-dua cahaya matanya sebelum ini.
“Saya sudah menjalani pembedahan c-zer secara kecemasan sebanyak dua kali. Ketika mengandungkan Seth, saya menang nak bersalin secara normal tapi bukaan itu lambat.
“Ketika bersalin kali kedua, saya juga mencuba melahirkan secara normal tapi pada ketika itu, kadar degupan jantung bayi agak rendah.
“Jadi, doktor sarankan untuk saya tidak hamil lagi. Jika kita bersalin secara pembedahan atau normal, saya akan kehilangan banyak darah.
“Jadi, untuk orang yang kekurangan darah seperti saya, ia sangat berisiko. Sebelum ini, saya sudah ditidurkan dua kali,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Masih Aku Cinta itu berkata demikian ketika ditemui pada saingan minggu kelima Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2), baru-baru ini.
Baca Artikel Lain;
Dalam pada itu, Shila turut mendedahkan dia disahkan sebagai pembawa talasemia ketika melahirkan anak pertamanya, Seth Uwais pada tahun 2019.
“Ketika saya mengandungkan Seth, kebiasaan kita akan tengok bacaan hemoglobin. Bacaan saya pernah turun sampai ke angka enam. Bacaan untuk orang normal adalah dalam lingkungan 13.
“Doktor sampai tanya, bagaimana saya masih boleh berjalan dan menjalani kehidupan harian secara normal? Selepas itu, kita buat pemeriksaan darah secara menyeluruh.
“Rupanya saya ada talasemia tapi saya seorang pembawa,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Shila pernah mendedahkan dia menghidap talasemia disebabkan faktor genetik yang diwarisi daripada sebelah bapanya.
Walaupun pernah mengimpikan keluarga yang besar, Shila tetap melihat perkara tersebut dari sudut positif dan memilih untuk reda dengan ketentuan yang berlaku.
“Saya reda dan okay sahaja. Pada ekonomi sekarang, dua orang cahaya mata sudah mencukupi. Sudah tentu saya mengimpikan anak yang ramai. Kata orang, lagi ramai lagi meriah.
“Bila doktor sudah kata sebegitu, saya terima. Mungkin Allah mahukan kami lebih fokus kepada Seth dan Rhea,” katanya lagi.
Ditanya mengenai reaksi suaminya, Ubai, Shila meluahkan rasa syukur kerana memiliki pasangan yang memahami dan sentiasa menyokong setiap keputusan yang dibuatnya.
“Suami saya juga sangat okay. Dia sentiasa memberikan semangat dalam keadaan santai. Jadi untuk keputusan-keputusan besar seperti ini, sudah tentu kita berdua sentiasa berbincang.
“Apa-apa pun suami saya cakap dengan saya, ‘Ini badan awak, apa-apa yang awak rasa, keselesaan badan awaklah, saya terima sahaja’,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, Shila mendirikan rumah tangga bersama Ubai pada 5 Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira, yang kini berusia dua tahun.
Selain itu, Shila turut memiliki seorang anak lelaki, Seth Uwais, hasil perkahwinan terdahulu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini