“Saya Akan Jaga Mereka,” – Aishah Sinclair

Share

Baru sahaja kehilangan insan tersayang 18 Februari lalu, Aishah Sinclair mengenang kembali kenangan bersama arwah abangnya, Ashraf Sinclair dan menyifatkan lelaki itu sebagai seorang yang melindungi dan sentiasa ada untuknya.

“Ketika membesar, abang adalah suara saya. Abang menjadi pelindung dan pada masa sama memarahi saya jika keadaan menjadi tidak terkawal kerana ketika kecil saya memang nakal.

“Apabila sudah dewasa, abanglah yang dirujuk setiap kali mahu membuat keputusan penting termasuk dalam karier mahu pun fesyen. Abang sentiasa ada masa untuk saya, biar sesibuk mana pun,” luahnya.

Sebak kerana tidak akan ada lagi perbualan atau pelukan daripada abangnya, namun dia bersyukur dikurniakan abang. Malah kehadiran Bunga Citra Lestari dan Noah dalam kehidupan mereka cukup menakjubkan.

“Kita tidak dapat menghabiskan perbualan terakhir. Saya tidak boleh peluk atau bergurau-senda lagi dengan abang.

“Namun, saya rasa sangat diberkati kerana dikurniakan abang dalam hidup ini, biarpun singkat.

“Abang menghadiahkan saya kakak ipar dan anak saudara yang menakjubkan. Saya akan jaga mereka sebaik mungkin seperti apa yang abang buat kepada saya.

“Seluruh hidup abang adalah penjaga saya, sekarang abang adalah mailakat yang mengawasi saya,” luahnya di laman Instagram.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair meninggal dunia pada usia 40 tahun akibat serangan jantung pada Selasa lalu.

Allahyarham berumah tangga dengan bintang popular Indonesia Bunga Citra Lestari pada 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Sinclair.

Foto : Instagram Aishah Sinclair

IKLAN