
Peserta Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Hussain tampil memberikan penjelasan susulan isu tular yang mendakwa pasukan pengurusannya bersikap kurang mesra dan sukar memberikan kerjasama kepada pihak media.
Menurut Hussain, tuduhan tersebut tidak berasas kerana pihak pengurusannya telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Bagaimanapun, dia mengakui kekurangan itu mungkin berpunca daripada dirinya sendiri yang masih dalam proses membiasakan diri dengan dunia seni dan masih mempunyai sifat pemalu apabila berada di hadapan khalayak.
“Kalau tak tahu hal sebenar, janganlah buat andaian. Dakwaan itu tidak benar. Cuma diri saya yang masih belum boleh keluar daripada kepompong rasa malu itu.
“Pasukan pengurusan saya buat kerja mereka dengan baik. Jadi malam ini (Ahad), saya buktikanlah yang pengurus, pembantu pengurus dan semua pihak telah melakukan tugas masing-masing.
“Lagipun, ketika ini, saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan dunia seni. Saya akui diri saya masih agak kekok. Saya akan cuba perbaiki diri saya lagi selepas ini,” katanya kepada MH.
Anak kepada penyanyi veteran Jamilul Hayat itu berkata demikian ketika ditemui selepas tamat saingan minggu kelima TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA pada Ahad.
Dalam pada itu, Hussain mengakui terkilan apabila dakwaan tersebut turut mengaitkan nama bapanya dan individu di sekelilingnya.
“Saya memang agak marah lebih-lebih lagi apabila mereka petik nama ayah dan orang sekeliling saya. Padahal, yang perlu buat pemanbahbaikan adalah diri saya. Ayah saya cuma buat kerja dia sahaja.
“Mereka semua sebenarnya banyak beri idea dalam persembahan. Jadi, kepada mereka yang tengok apa sahaja video atau baca di Threads, segala dakwaan tersebut tak betul.
“Saya akui, memang itu salah saya juga sebab masih lagi segan,” ujarnya.
Mengulas mengenai komen negatif di media sosial, Hussain berkata perkara itu tidak menjejaskan emosinya, sebaliknya dijadikan sebagai motivasi untuk memperbaiki diri.
“Secara peribadi, benda itu tidaklah terlalu mengganggu mental saya. Sebaliknya, beri semangat untuk buktikan yang saya boleh buat lebih baik lagi.
“Saya baca banyak komen di media sosial, memang ada rasa nak berubah. Ada kawan saya yang hantar perkongsian itu. Memang saya marah sampai buat siaran langsung dan persoalkan siapa yang buat cerita tersebut.
“Sekarang dah masuk minggu kelima dan bagi saya, rasa malu itu dah semakin hilang. ‘Urat malu’ dalam diri saya dah putus. Jadi sekarang saya rasa lebih berani,” jelasnya.
Sejak kebelakangan ini, timbul beberapa dakwaan yang mengatakan Hussain agak sukar didekati, khususnya ketika berurusan dengan pihak media.
Malah, terdapat juga dakwaan bahawa setiap urusan perlu melalui tapisan tertentu selain pihak pengurusan dikatakan tidak membenarkan sebarang penggambaran melibatkan Hussain.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini