
Penyanyi Nadeera sekali lagi mencipta sejarah dalam kerjaya seninya apabila dipilih oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mewakili negara ke acara berprestij ABU (Asia-Pacific Broadcasting Union) Song Festival 2025yang bakal berlangsung pada 13 September di Tsonjin Boldog, Mongolia.
Pemilihan ini bukan sahaja menjadi pencapaian penting buat Nadeera, malah turut membuktikan kepercayaan tinggi pihak RTM terhadap bakat, kemampuan serta aura bintang yang dimiliki artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment ini.
Di pentas berprestij tersebut, Nadeera bakal mempersembahkan lagu hitnya Bukan Lagi Kita, yang melonjakkan namanya sebagai antara vokal terbaik generasinya, sekali gus memperkenalkan karya tempatan kepada khalayak antarabangsa.
“Pemilihan oleh pihak RTM ini merupakan satu penghormatan besar buat saya.
“Jujurnya saya sangat terharu apabila diberitahu bahawa saya bakal membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui ABU Song Festival 2025.
“Lagu ‘Bukan Lagi Kita’ sangat dekat di hati saya dan pendengar, jadi saya mahu nyanyikannya dengan seluruh jiwa, sebagai hadiah buat semua,” ujarnya.
“Saya sedar di pentas ini, saya bukan sekadar Nadeera, saya adalah anak Malaysia. Setiap nota yang saya nyanyikan nanti adalah doa, harapan dan juga kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan yang terbaik,” tambahnya lagi.

Bangga Wakili Malaysia
Meskipun ini bukanlah kali pertama Nadeera menjejakkan kaki di pentas luar negara kerana sebelum ini dia pernah membuat persembahan di Vietnam dan Indonesia, namun peluang kali ini disifatkan jauh lebih bermakna.
“Saya amat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia di pentas dunia. Setiap kali melangkah ke luar negara, saya membawa semangat dan harapan peminat di tanah air.
“Kali ini, ia lebih istimewa kerana saya bakal tampil di festival berskala antarabangsa bersama artis-artis hebat dari seluruh Asia.
“Saya harap dapat mengharumkan nama negara dengan cara yang tersendiri,” katanya yang kini popular dengan lagu ‘Peluk’ di samping Hael Husaini.
“Terima kasih RTM atas kepercayaan ini, Rocketfuel atas sokongan tanpa henti, pasukan produksi, pemuzik dan semua peminat yang menjadi tulang belakang saya.
“Doakan perjalanan ke Mongolia dipermudahkan dan persembahan nanti menyentuh hati sesiapa yang menonton,” katanya lagi.
Sementara itu, pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment turut menyuarakan rasa bangga terhadap kejayaan ini.
Malah Rocketfuel menyifatkan pemilihan ini sebagai membuktikan bakat vokal dan disiplin kerjayanya yang luar biasa.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




