Berita

“Sampai Ke Hujung Usia Insya-Allah, Tangan Ini Tetap Untuk Awak,” – 23 Tahun Harungi Susah Senang, Mark Adam Anggap Isteri Hadiah Terbesar DaripadaNya

Share

Penyanyi dan guru vokal, Mark Adam menitipkan ucapan istimewa buat isteri tercinta, Norazah Redzuan, sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-23, semalam.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Mark meluahkan rasa syukur apabila rumah tangga yang dibina bersama isterinya itu kekal utuh meskipun telah melalui pelbagai liku kehidupan sepanjang tempoh perkahwinan.

Kesetiaan Jadi Kunci Perjalanan Rumah Tangga

Menurut Mark, perkara paling bermakna dalam hubungan mereka adalah kesetiaan untuk terus bersama dalam apa jua keadaan.

“Selamat ulang tahun perkahwinan, B. Kalau orang tanya apa yang paling istimewa tentang perjalanan kita, jawapan saya mudah… Kita tak pernah tinggalkan satu sama lain.

“Kita dah lalui macam-macam dalam hidup. Ada hari kita ketawa, ada hari kita menangis.

“Ada masa semuanya terasa mudah, tapi ada juga masa dugaan datang bertubi-tubi sampai kita sendiri tak tahu macam mana nak hadapinya.

“Tapi dalam setiap keadaan itu, tangan awak tetap ada dalam tangan saya. Dan tangan saya tetap cuba menggenggam tangan awak sekuat yang saya mampu,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, penyanyi lagu Pencuri itu turut menganggap kehadiran isterinya dalam hidup merupakan satu pinjamanNya yang tidak ternilai.

“Kita mungkin tak selalu tahu apa yang akan berlaku esok, tapi kita selalu cuba cari jalan bersama.

Bila satu pintu tertutup, kita cari pintu yang lain. Bila kita rasa dah tak ada jalan, Allah tunjukkan jalan yang kita sendiri tak pernah sangka.

“Alhamdulillah…Allah tak pernah tinggalkan kita. Dan hari ini saya sedar, mungkin itulah antara hadiah terbesar dalam hidup saya. Allah pinjamkan awak kepada saya sebagai teman dalam setiap ujian dan kebahagiaan.

Doa Agar Cinta Berkekalan

Sementara itu, Mark turut menzahirkan penghargaan buat isterinya yang sentiasa berada di sisi ketika susah mahupun senang.

“Thank you B kerana tetap bersama saya ketika saya tak sempurna. Terima kasih kerana tetap menggenggam tangan saya ketika hidup terasa berat.

“Terima kasih kerana memilih untuk bertahan, memilih untuk memahami, dan memilih untuk terus berjalan bersama saya.

“Saya tak janji perjalanan kita selepas ini akan sentiasa mudah. Tapi saya janji satu perkara… Selagi Allah izinkan, saya akan tetap pegang tangan awak.

“Kalau kita jatuh, kita bangun sama-sama. Kalau kita susah, kita hadap sama-sama. Kalau kita bahagia, kita syukuri sama-sama.

“Dan kalau suatu hari nanti kita sudah tua, saya harap kita masih boleh pandang satu sama lain dan berkata, “Alhamdulillah…kita dah lalui semuanya bersama,” luahnya.

Mengakhiri perkongsian, penyanyi kelahiran Filipina itu menitipkan doa istimewa buat isterinya agar rumah tangga mereka terus diberkati dan berkekalan hingga ke Jannah.

“Selamat ulang tahun perkahwinan, B. Semoga Allah terus menjaga rumah tangga kita, melindungi keluarga kita, melapangkan rezeki kita, menguatkan hati kita dan mengurniakan kita cinta yang semakin dalam setiap hari.

“Susah senang kita bersama. Dugaan dan ujian kita hadapi bersama. Sampai ke hujung usia, insya-Allah…tangan ini tetap untuk awak. Saya sayang awak, hari ini, esok dan sampai Allah izinkan kita bertemu di syurga

“Alhamdulillah untuk kita. Selamat Hari Merdeka Malaysia. August 31, 2003,” akhirinya.

Untuk rekod, Mark mendirikan rumah tangga dengan isterinya yang juga merupakan pengurusnya pada 31 Ogos 2003.

Bagaimanapun, pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata selepas lebih dua dekad mendirikan rumah tangga.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza