
Penyanyi dan usahawan, Sufian Suhaimi, berkongsi berita menggembirakan apabila isterinya, Rania Al Sadat, telah selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka pada 24 April.
Perkhabaran tersebut dimaklumkan Sufian menerusi hantaran terbaharu di platform media sosial miliknya.
Dalam perkongsian itu, penyanyi lagu Di Matamu itu meluahkan rasa syukur kerana impiannya untuk bergelar seorang bapa akhirnya tercapai.
“Alhamdulillah, sampai juga momen yang saya tunggu selama ini. Hari ini, dengan penuh rasa syukur, saya ingin berkongsi yang saya sudah pun bergelar seorang ayah.
“Sukar untuk saya gambarkan perasaan kali ini. Rasa sebak dan bahagia, semua bercampur menjadi satu,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Sufian turut berkongsi momen indah selepas kelahiran anaknya di sebuah pusat perubatan di Selangor.
Pada masa yang sama, dia tidak ketinggalan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan mendoakannya sepanjang perjalanan hidupnya.
“Terima kasih kepada anda semua yang sentiasa menyokong saya daripada kosong sehinggalah saya dapat bina sebuah keluarga yang saya impikan hari ini,” kongsinya lagi.
Sebagai rekod, Sufian dan Rania telah mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2025.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini