“Sama-Sama Dalam Keadaan Kering. Kalau Basah Sekali Pun, Kita Boleh Samak, Kan?,” – Nabila Huda

Share

Kecoh di media sosial beberapa hari lalu apabila pelakon Nabila Huda memuat naik gambar bersama seekor anjing jenis Husky Siberian yang menjadi bualan ramai pihak.

Foto tersebut dirakam ketika pelakon berusia 34 tahun itu sedang bercuti ke New Zealand bersama ahli keluarga.

Bagaimanapun, Nabila atau mesra disapa Abil mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian kerana baginya, dia sekadar menunjukkan rasa cinta terhadap haiwan yang juga makhluk ciptaan Tuhan.

“Saya tak anggap perbuatan itu memberi pengaruh buruk kepada sesiapa.

“Saya nak tunjuk bahawa sebagai manusia, kita perlu menyanyangi setiap benda yang ada di muka bumi ini.

“Rasanya tiada masalah untuk kita berbuat baik dengan apa sahaja termasuk jenis haiwan, anjing juga makhluk Allah,” katanya jujur.

Pada masa sama, bintang Munafik ini turut menambah dia dan haiwan berkenaan berada dalam keadaan kering ketika sama-sama merakam foto.

“Ketika foto itu dirakam, saya dan anjing berkenaan sama-sama dalam keadaan kering. Kalau dalam keadaan basah sekali pun, kita boleh samak,kan?

“Jadi, tidak perlulah menjadikan perkara itu sebagai sesuatu isu besar,” jelas Abil kepada MH.

Abil menjelaskan perkara berkeaan ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2019 (ASK2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat.

Malah, tindakannya yang bergambar bersama seekor anjing turut mendapat perhatian Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak.

Bagaimanapun, anak kepada penyanyi Amy Search ini menyarankan agar PU Syed atau sesiapa sahaja supaya lebih memberikan fokus kepada isu lebih besar, seperti gejala sosial khususnya melibatkan remaja.

“Kalau ada sesiapa yang hendak memberikan pendapat atau ceramah sekali pun, lebih baik mereka fokus pada masalah remaja hari ini yang semakin teruk,” jelasnya.

Sementara itu, Nabila dinobatkan pemenang bagi kategori Pelakon Drama Terbaik menerusi Dia Tidak Berdosa, sekali gus mengetepikan calon lain seperti Eyka Farhana, Mimi Lana, Sweet Qismina dan Sherie Merlis.

Foto : Instagram Nabila Huda

IKLAN