
Selepas kejayaan konsert Back To Basic dan Dia, penyanyi Misha Omar bakal kembali mengubat kerinduan peminat menerusi sebuah showcase eksklusif, Aku & Lelaki.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober ini, jam 8.30 malam di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor itu bakal menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju konsert meraikan ulang tahun ke-25 perjalanan seninya yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan.
Apa yang menarik, showcase Aku & Lelaki akan mengetengahkan konsep yang lebih segar dengan meraikan keseimbangan dua sisi yang saling melengkapi iaitu maskulin dan feminin, kekuatan dan kelembutan, serta kehilangan dan harapan.
Selain membawakan lagu-lagu hit nyanyiannya sendiri, Misha turut bakal memberikan penghormatan kepada lagu-lagu ikonik yang pernah dipopularkan oleh penyanyi lelaki dari Malaysia, Indonesia dan antarabangsa.
Menurut Misha, showcase kali ini bakal menawarkan kelainan bukan sahaja daripada segi kekuatan vokal, malah menerusi kehalusan emosi yang selama ini menjadi identiti dan kekuatan penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.
“Saya tidak mahu peminat mendengar perkara yang sama setiap kali kita bertemu.
“‘Aku & Lelaki’ sebagai ruang dan peluang saya untuk meneroka lagu-lagu yang saya kagumi daripada penyanyi lelaki yang banyak memberi inspirasi kepada perjalanan muzik saya,” katanya.
Meskipun bakal menyampaikan karya-karya nyanyian penyanyi lain, Misha menegaskan dirinya tetap akan mengekalkan identiti dengan menyuntik sentuhan serta interpretasi tersendiri dalam setiap persembahan.
“Namun pada masa yang sama, saya masih dan akan tetap membawa identiti saya sebagai seorang penyanyi wanita.
“Saya mahu peminat menikmati sesuatu yang baharu dan saya berharap showcase ini dapat membuat penonton pulang dengan kenangan yang istimewa,” ujarnya lagi
Dalam perkembangan sama, Misha turut mengumumkan maestro muzik, Ee Jeng, bakal bertindak selaku pengarah muzik, manakala Jenniffer Thompson pula dilantik sebagai pengarah persembahan.
Tiket showcase Aku & Lelaki telah mula dijual sejak 3 September lalu dengan harga RM188 (CAT3), RM288 (CAT2), RM458 (CAT1), RM488 (VIP2), RM508 (VIP1) dan RM458 (Mezzanine).
Bagi peminat setia, tiket boleh didapati menerusi ticket2u.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Misha Omar