
Selepas lebih tiga dekad bergelar anak seni, penyanyi terkenal, Ziana Zain dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk.
Penganugerahan tersebut disampaikan di Balai Istiadat Seri Negeri pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Penyanyi lagu Madah Berhelah itu merupakan antara 189 individu yang menerima D.P.S.M. dalam istiadat berkenaan, bersama penerima lain daripada pelbagai latar belakang termasuk perkhidmatan awam, politik, korporat dan seni.
Ketika istiadat berlangsung, Ziana anggun mengenakan Baju Kurung Moden lengkap dengan perincian selendang berwarna biru.
Penyanyi berusia 58 tahun itu juga dilihat tenang dan yakin ketika namanya diumumkan sebagai penerima darjah kebesaran berkenaan.
Pengiktirafan itu sekali gus menjadi antara pencapaian paling bermakna dalam perjalanan seni Ziana yang telah mewarnai industri hiburan tanah air sejak penghujung era 1980-an.
Nama Ziana mula mencipta fenomena menerusi pelancaran album sulungnya, Madah Berhelah pada Disember 1991.
Sejak itu, beliau terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyanyi wanita paling berpengaruh di Malaysia.
Sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni, Ziana bukan sahaja mencipta nama sebagai penyanyi, malah turut membuktikan kebolehannya dalam bidang lakonan.
Antara pencapaian terbesar dalam kerjaya nyanyiannya ialah apabila beliau dinobatkan sebagai juara utama pertandingan Voice of Asia yang berlangsung di Kazakhstan.
Kejayaan tersebut turut melayakkan Ziana menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.
Dalam bidang muzik, Ziana telah menghasilkan enam album sepanjang perjalanan seninya.
Antara album yang paling sinonim dengan namanya ialah Madah Berhelah (1991), Ziana Zain (1993), Setia Ku Di Sini (1995) dan Puncak Kasih (1997).
Bakatnya juga tidak terhad kepada dunia nyanyian apabila beliau turut menyerlah dalam bidang lakonan menerusi beberapa filem popular seperti Sembilu (1994), Maria Mariana (1996), Merah (1996), Pontianak Menjerit (2005) dan Magika (2010).
Selain filem, Ziana terus memperluaskan portfolio lakonannya menerusi drama televisyen seperti Mak Cun 4 (2018), Janda Kosmopolitan (2020), Histeria The Series (2022) dan banyak lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.