
Khadam
Filem seram terbaharu, Khadam dijangka menjadi antara naskhah paling dinanti-nantikan tahun ini.
Menampilkan pendekatan berbeza, Khadam membawa kisah saka menerusi latar era 1950-an yang sarat dengan elemen emosi, psikologi dan konflik kekeluargaan.
Menerusi pelancaran poster serta trailer rasmi yang diumumkan semalam, filem itu memberi gambaran lebih jelas mengenai jalan cerita yang memfokuskan kepada sebuah keluarga yang cuba memutuskan hubungan dengan entiti yang sekian lama terikat dengan keturunan mereka.
Berbeza dengan kebanyakan filem seram lain, karya arahan Shamyl Othman ini membawa penonton menyelami perjalanan hidup seorang ibu bernama Melor yang berdepan makhluk misteri sehingga perlahan-lahan mengambil alih kehidupannya.
Filem ini mengisahkan Melor yang terpaksa mewarisi saka keluarga selepas kematian ibunya. Entiti tersebut bukan sahaja menghuni tubuhnya, malah menjelma sebagai versi dirinya yang lebih sempurna.
Kehadiran makhluk itu sedikit demi sedikit mula mengambil alih kehidupannya sebagai isteri dan ibu sehingga Melor semakin terpinggir dalam kehidupannya sendiri.
Khadam menampilkan gabungan penerbit daripada pelbagai negara menerusi kerjasama antara Red Communications dan Komet Productions bersama rakan strategik serantau dan antarabangsa iaitu Magma Entertainment dan VMS Studios (Indonesia), Sil Metropole (Hong Kong), Applause Entertainment (India), serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas (Malaysia).
Malah, naskhah ini turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Kolaborasi berskala besar itu bukan saja menghimpunkan tenaga kerja dari pelbagai negara, malah memperkukuhkan potensi Khadam untuk menarik perhatian penonton di peringkat serantau.
Baca Artikel Lain;
Khadam diterajui bintang Indonesia, Aghniny Haque sebagai Melor dan Remy Ishak sebagai Awang. Filem ini turut dibarisi Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl’ El serta penampilan khas Jun Lojong.
Menurut Remy, watak Awang bukan karakter yang mudah untuk disukai kerana mewakili lelaki yang menyimpan perasaan tetapi gagal meluahkannya.
“Awang bukan watak untuk disukai. Dia wujud di sekeliling kita. Lelaki yang merasa tetapi tidak pernah mengaku. Itu yang membuatkan watak ini sangat mencabar untuk saya,” katanya.
Kehadiran Aghniny Haque sebagai Melor turut menjadi kekuatan besar kepada Khadam.
Dikenali menerusi karya-karya hebat seperti KKN Di Desa Penari, Mencuri Raden Saleh dan Qorin, Aghniny membawa kredibiliti tersendiri sebagai antara pelakon muda paling menonjol di Indonesia ketika ini.
Naskhah ini juga merupakan filem pertama beliau di Malaysia menerusi sebuah kolaborasi antarabangsa.
Menurut Aghniny, watak Melor menjadi lambang kekuatan wanita yang sanggup melakukan apa sahaja demi keluarga tercinta.
“Melor digambarkan sebagai seorang mangsa yang terus bertahan walaupun dunia di sekelilingnya perlahan-lahan mengambil segala yang dia punya,” ujarnya.
Walaupun memegang watak sebagai wanita bisu, setiap reaksi dan bahasa tubuhnya berjaya menyampaikan kehilangan seorang wanita yang sedang berusaha mempertahankan keluarganya.
Khadam bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini