Berita

Raja Azura Niat Bekerja Demi Cari Rezeki & Besarkan Anak-Anak, Maafkan Pengkritik – “Saya Tak Mahu Ulas Apa-Apa, Hanya Senyap.”

Share

Pengacara dan pelakon Raja Azura, atau lebih mesra disapa Kak Engku, memaklumkan dia sudah memaafkan mana-mana pihak yang mengkritik serta melemparkan komen berbaur negatif terhadap dirinya di media sosial susulan isu pengacaraan pada minggu pertama program realiti Kilauan Emas Selebriti (KES) sebelum ini.

Menurut Raja Azura, dia menyedari akan penerimaan orang ramai terhadap seseorang tidak boleh dibentuk.

Malah, apa sahaja yang dilakukan tetap akan dinilai mengikut persepsi masing-masing.

“Jika seseorang itu menyukai kita, kita buat apa pun orang akan suka. Kalau orang tak suka kita, buatlah apapun orang tetap takkan suka.

“Saya berpegang kepada perkara itu dan ketika isu itu timbul, saya rasa lebih baik saya berdiam diri.

“Saya tidak mahu untuk ulas apa-apa dan hanya senyap,” katanya kepada MH.

Raja Azura berkata demikian ketika ditemui selepas selesai persembahan minggu ketiga KES yang berlangsung di Auditorium Bandaraya Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Pilih Berdiam Diri Demi Terus Mencari Rezeki

Tambah pelakon filem Tiga Janda Melawan Dunia itu lagi, dia tidak menyimpan sebarang perasaan marah terhadap sesiapa dan memilih untuk menerima segala yang diperkatakan dengan hati terbuka.

“Apa yang mereka katakan di luar sana, saya terima sahaja. Saya tiada masalah, saya tak marah.

“Saya maafkan semua orang, saya maafkan orang yang berkata pasal saya. Kalau saya ada salah pun, saya minta maaf juga.

“Mereka ada hak untuk bercakap, cuma saya tak suka nak lawan-lawan. Saya hanya buat kerja sahaja, mencari rezeki untuk anak-anak.

“Saya ada tiga orang anak untuk dibesarkan. Saya memilih untuk tidak memikirikan perkara itu,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut meluahkan rasa terkejut apabila isu lama yang berlaku kira-kira tujuh hingga lapan tahun lalu kembali menjadi bualan.

“Perkara itu berlaku sebenarnya sehinggakan benda yang sudah lama dalam tujuh hingga lapan tahun dulu pun keluar balik.

“Saya baca sehinggakan saya termenung. Masya-Allah… saya hanya mampu senyum.

“Sebab saya kena terima realiti hari ini, media sosial adalah tempat mereka meluahkan perasaan,” katanya.

Bagaimanapun, pengacara berusia 53 tahun itu mengharapkan agar tiada pihak cuba menjejaskan sumber rezekinya.

“Saya bukan boleh lawan apa-apa pun. Saya hanya boleh buktikan dengan hasil kerja sahaja.

“Cuma jangan letak pasir dalam periuk nasi saya kerana saya tidak pernah sebegitu pada orang lain.

“Kalau kita buat pada orang, jangan lupa satu hari nanti akan mungkin kena balik,” ulasnya.

Syukur Terima Sokongan Rakan Artis

Mengulas lanjut, Raja Azura mendedahkan dia tidak pernah berniat untuk merebut peluang atau tempat mana-mana individu dalam industri.

“Saya sudah lama tak keluar, lama tak menjadi sorang pengacara.

“Tetapi apabila saya menjadi pengacara, saya lihat ramai pula yang ‘nervous’.

“Saya bukan hendak caras tempat sesiapa. Saya hanya keluar Kilauan Emas sahaja. Ini pun lima tahun sekali, selepas 11 tahun baru saya muncul semula,” selorohnya.

Sementara itu, bekas penyampai radio Suria FM itu turut meluahkan rasa syukur apabila menerima sokongan daripada rakan-rakan artis sepanjang berdepan situasi tersebut.

“Alhamudlillah… kawan-kawan saya positif.

“Ada juga di kalangan artis-artis seperti Zizan Dan Fasha Sandha yang mengenali dan rapat dengan saya. Mereka memberikan komen-komen yang positif,” katanya lagi.

Terdahulu, gandingan Raja Azura bersama hos baharu, Keanu Azman, menjadi perbualan hangat apabila pengacara duo itu dikatakan tidak serasi ketika mengendalikan program Kilauan Emas Selebriti (KES) pada minggu pertama.

Saksikan LIVE Kilauan Emas Selebriti, mulai 22 Ogos 2026, setiap Sabtu, 9 malam dengan melanggani Astro X3 atau aplikasi Sooka #KilauanEmasSelebriti #MHnews #MediaHiburan

Published by
Nurdini Rosliza