
Penyanyi terkenal Indonesia, Raisa dan suaminya, aktor serta personaliti televisyen Hamish Daud, kini disahkan telah bercerai secara sah mengikut keputusan Mahkamah Agama Jakarta Selatan.
Keputusan tersebut dibuat selepas mahkamah menjatuhkan putusan cerai secara verstek, sekali gus menamatkan ikatan perkahwinan pasangan itu yang dibina sejak tahun 2017.
Perceraian berkenaan diputuskan selepas Hamish Daud dilaporkan tidak hadir dalam beberapa sesi persidangan yang telah ditetapkan.
Difahamkan, proses perceraian tersebut telah difailkan oleh Raisa menerusi sistem e-court sekitar Oktober lalu dan berjalan mengikut prosedur undang-undang sehingga keputusan muktamad dicapai pada pertengahan Disember.
BACA JUGA: Lapan Tahun Bersama, Raisa Fail Cerai Daripada Hamish Daud Secara Dalam Talian
Meskipun perkahwinan mereka berakhir, kedua-dua pihak dilaporkan mencapai persetujuan secara baik, termasuk berkaitan soal penjagaan anak tunggal mereka.
Oleh yang demikian, mereka itu memilih pendekatan co-parenting demi kebajikan dan kesejahteraan anak.
Sepanjang proses perceraian berlangsung, Raisa dan Hamish juga menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat secara matang tanpa sebarang konflik terbuka. Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kedua-dua pihak berhubung punca perpisahan mereka.
Untuk rekod, Raisa dan Hamish mendirikan rumah tangga pada tahun 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Zalina Raine Wyllie, yang kini berusia 6 tahun.
Raisa merupakan antara penyanyi yang cukup prolifik di Indonesia dan terkenal hingga Malaysia. Beliau baru sahaja mengadakan konsertnya di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 3 November tahun lalu.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan