Setelah sah cerai talak satu pada pagi tadi, vokalis OAG, Radhi mengakui berhasrat untuk kembali rujuk dengan bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri atau lebih dikenali sebagai Ayu.

Kata vokalis kumpulan OAG itu, meski hidup perlu diteruskan selepas apa yang berlaku, namun dia masih ada hasrat untuk kembali bergelar suami kepada Ayu.

“Saya akan cuba rujuk dengan Ayu. Islam memang cantik. Allah bagi pilihan untuk cerai dan rujuk. Jadi kehidupan perlu diteruskan.

“Dalam proses merujuk, saya perlu ada perancangan baru juga,” katanya.

Pada masa sama, Radhi turut mengakui ini merupakan dugaan dariNya.

“Dugaan ini adalah cara Allah menegur saya.

“Saya yakin apa yang berlaku ini ada hikmahnya,” kongsi Radhi.

IKLAN

Terdahulu, Radhi ditemui media sejurus selesai lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam prosiding yang berlangsung itu, Radhi atau nama sebenarnya Mohd Radhi Razali, 41, melafazkan cerai talak satu terhadap Ayu, 25.

Sementara itu, Ayu turut meluahkan rasa lega apabila proses perceraian mereka berjalan lancar.

“Alhamdulillah. Rasa lega sangat kerana semuanya susah selesai dan dipermudahkan,” katanya.

IKLAN

Ditanya mengenai isu rujuk seperti yang diperkatakan Radhi, Ayu tidak boleh memberikan jawapan setakat ini.

“Pasal rujuk itu saya belum fikir apa-apa lagi. Saya minta maaf tidak dapat kongsi sama ada masih ada perasaan sayang terhadap Radhi atau tidak.

“Radhi seorang yang baik. Kami masih boleh jadi kawan macam biasa. Hari ini pun kami jumpa macam kawan. Rumah kami pun dekat saja untuk dia datang melawat anak-anak.

IKLAN

“Saya akan tinggal bersama keluarga. Buat masa ini, saya mahu bagi masa untuk diri sendiri. Kalau dia kata nak berubah, itu baguslah untuk semua orang terutama anak-anak kami.

“Saya juga tidak meletakkan syarat atau masa tertentu untuk dia jumpa anak-anak. Kalau dia rasa nak datang, bila-bila masa pun boleh,” jelasnya.

Radhi dan Ayu berkahwin pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak iaitu Nuraishah,4, dan Muhammad, 3.

Radhi sebelum ini pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 Dan bercerai pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan berkenaan, keduanya dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rifdhi Muslim, 14.

Sumber: Utusan Online

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI