
Anggota kumpulan Floor 88, Eric Fuzi tampil memberikan reaksinya bila ada pihak yang mengkritik dan merendahkan barisan artis yang membuat persembahan di mana-mana acara food festival.
Menurut Eric, setiap acara mempunyai keistimewaan dan pengikut yang tersendiri dan hal itu tidak seharusnya menjadi perbandingan atau kasta untuk melabelkan sesuatu kumpulan artis.
“Buat persembahan dia acara food festival memang seronok. Setiap minggu, sebelum buat persembahan, dapat makan yang sedap-sedap.
“Majulah muzik dan perut,” tulis.
Pandangan itu dikongsikan oleh pelakon filem Klepet itu menerusi satu hantaran di Threads.
Jelas Eric lagi, tidak semua artis memiliki keupayaan atau aura di acara seperti ini meskipun mereka sudah bergelar artis terkenal.
Malah, dia juga bersyukur kerana program seumpama ini yang membuatkan Floor 88 mampu bertahan dan dekat dengan peminat.
“Apapun, bila ada lagu sendiri yang banyak, hits dan ramai orang tahu pun tak banyak dapat acara konsert berbayar ini.
“Dengan adanya program food fest inilah yang membuatkan kami mampu bertahan lagi sampai sekarang.
“Boleh cari makan setiap minggu,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Eric merasakan setiap selebriti berhak untuk menentukan hala tuju muzik mereka sendiri tanpa mengikut telunjuk mana-mana pihak.
Lantaran itu, Eric berterima kasih kepada para penganjur acara food festival yang sentiasa mempercayakan Floor 88 untuk menghiburkan para pengunjung.
“Lain orang, lain liga, lain citarasa dan lain selera.
“Terima kasih para penganjur program food fest yang sentiasa anjurkan acara di serata negeri dan membuka peluang kepada mereka yang terlibat,” akhirinya.
Terdahulu, isu mengenai artis yang membuat persembahan di acara food festival menjadi perdebatan hangat di media sosial, sejak akhir-akhir ini.
Malah, ada juga yang berpandangan, artis yang berkelas dan mempunyai pengikut yang besar tidak seharusnya muncul menerusi acara sedemikian.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Floor 88 & Threads Eric Fuzi