PM Britain Kini Di ICU Akibat Covid-19

Share

Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson kini dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) susulan keadaan kesihatannya bertambah buruk.

Johnson dimasukkan ke hospital semalam selepas gejala demam panas lebih daripada 10 hari dan disahkan positif Covid-19.

Beliau kini diberi bantuan pernafasan namun keadaannya dilaporkan stabil.

“Selepas tengah hari semalam, keadaannya semakin teruk dan dinasihatkan dipindahkan ke ICU.

“Beliau mengarahkan Setiausaha Luarnya, Dominic Raab iaitu Setiausaha Negara mengambil alih jawatan timbalan bagi menjalankan tugas mana yang perlu.

“Beliau ketika ini stabil dan dalam keadaan sedar,” kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri Britain seperti yang dipetik.

Menurut laporan, Johnson disahkan positif pada 26 Mac lalu namun selepas 10 hari menjalani kuarantin sendiri di apartmennya di Downing Street, beliau kemudian dimasukkan ke hospital susulan demam dan batuk-batuk.

Bagaimanapun, menurut profesor di Institut Pengimejan University College London (UCL), Derek Hill, keadaan perdana menteri itu sememangnya semakin merosot.

Jelasnya, salah satu ciri Covid-19 adalah pesakit lelaki akan berada dalam keadaan lebih parah berbanding wanita terutama mereka yang berusia lebih 40 tahun.

Malah jika usia melebihi 60 tahun, ia lebih berisiko apabila mengidap penyakit kritikal lain.

Sumber : Berita Harian

IKLAN