‘Pertama kali tengok, Ummi macam comot sikit’ – Dr Izzar

SUASANA di dewan utama di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, Sabtu lalu tampak eksklusif dengan dekorasi ala taman khas untuk persandingan aktres Ummi Nazeera, 27, bersama cinta hatinya, Dr Mohd Izzar Anwari Datuk Seri Abdul Khani, 30.

Bunga-bunga segar melatari dewan diiringi lagu cinta menjadi saksi penyatuan romantis pasangan sama cantik sama padan ini.

Ummi atau nama lengkapnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Datuk Zainulabadin, sungguh menawan dalam dua persalinan memukau mata lebih 600 tetamu termasuk keluarga, sahabat, selebriti dan rakan media.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Adibah Noor sebagai pengacara.

Bintang filem Penanggal ini diijabkabulkan dengan Dr Izzar pada 23 Julai lalu dalam sebuah majlis tertutup di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Ummi bersyukur walaupun kesemua majlis meraikan mereka belum selesai namun sudah selamat disatukan.

IKLAN

“Kalau nak diikutkan, kami ada lapan majlis bermula dengan merisik, bertunang, bernikah dan beberapa majlis resepsi di kedua-dua belah pihak. Majlis sanding ini sudah pun berjalan lancar. Maafkan kami jika ada yang terkurang, ya,” kata Ummi yang ditemani suami.

Ummi menyifatkan bertuah kerana memiliki Dr Izzar yang digambarkan sebagai lelaki penyabar dan penyayang.

“Perempuan biasalah, kadang-kadang pasti akan ada mood yang tidak menentu. Misalnya pada majlis kami minggu lalu, saya agak moody sikit. Tapi, suami handled me very well. Dia pegang tangan dan minta saya tenung matanya sambil senyum. Saya suka caranya,” akui Ummi yang tampak menawan dalam gaun hijau pereka terkenal, Fizi Woo.
Nur Kasih ‘penghubung’ cinta

Berkongsi detik awal perkenalan, Ummi berkata, dia ditemukan dengan doktor tinggi lampai itu oleh ahli keluarga mereka untuk mengenali hati budi masing-masing.

“Keluarga tak paksa pun. Mereka kata, kalau suka okey dan kalau tak suka pun, tak apa. Kebetulan pula kami saling menyukai,” seloroh Ummi sambil ketawa kecil bersama suaminya.

Bagi Dr Izzar, pekahwinan ini ibarat pelengkap hidupnya.

Ditanya reaksi pertama kala bercerita mengenai Ummi, Dr Izzar yang bertugas di Sarawak memberitahu, pertama kali mengenali isterinya sebagai pelakon apabila menonton drama bersiri Nur Kasih.

Ketika itu, dia masih mengikuti pengajian di Ireland.

“Biasalah bila ada waktu terluang, saya akan streaming tengok drama Melayu. Pertama kali tengok, dia macam comot sikit,” gurau Dr Izzar yang turut mengakui, wajah kemelayuan dan keberkesanan lakonan Ummi menarik perhatiannya.

Bagaimanapun, baik Ummi dan suami, mereka tidak pernah mengimpikan bertemu selebriti atau doktor tetapi jodoh sudah menentukan mereka bersatu.

IKLAN

“My mum suka kalau saya kahwin dengan doktor. Mungkin kerjaya mereka yang cuba membantu insan yang memerlukan. Doktor actually menolong pesakit. Bila first time ibu jumpanya pun, dia sangat suka. Jadi kita sebagai anak pun happy bila tengok ibu kita gembira,” sambung Ummi yang tidak merancang soal cahayamata.

Baginya, cahayamata itu adalah rezeki dari-Nya dan mereka tidak menolak andai mendapat zuriat awal.
Bulan madu di Sabah, Switzerland

Sambil memanjatkan doa agar mahligai cinta yang dibina berkekalan, pasangan ini sepakat memilih dua lokasi sebagai saksi cinta keduanya.

“Kami akan berangkat ke Sabah terlebih dahulu untuk meraikan hari jadi kami. Kemudian barulah ke Switzerland. Suami memang sudah rancang bawa saya ke sana untuk menikmati keindahan alam.

 

“Switzerland sinonim dengan lokasi alaminya yang indah. Suami pula jenis yang sukakan alam semula jadi,” ujar Ummi yang bakal muncul menerusi filem televisyen berjudul Bisik Pada Langit arahan Khabit Bhatia tidak lama lagi.

 

Teks; Rafiq Mazlan/SinarHarian