Berita

Pernah Tolak Peluang Rakam Album Tahun 80an, Kagumi Aura Penghibur Seperti Ella & Kerja Kontraktor Sebelum ‘Full Time’ Berlakon, Lima Peserta KES Buka Cerita!

Share

Pentas Kilauan Emas Selebriti (KES) baru sahaja membuka tirainya Sabtu lalu dan pastinya, bahang kehangatan kian dirasai apabila barisan peserta tampil mempertaruhkan kemampuan vokal serta sisi berbeza masing-masing secara ‘live’!

Tamimi Siregar, Jalaludin Hassan, Fazlina Ahmad Daud, Kathy Azian dan Rahhim Omar berkongsi pengalaman.

Masing-masing berkongsi cerita tentang perjalanan seni, impian yang tertangguh serta sisi peribadi yang mungkin ramai orang tidak tahu.

Dato’ A. Tamimi Siregar

Minat bintang legenda yang kini meniti usia 76 tahun, Dato’ A Tamimi Siregar terhadap bidang seni mula berputik sejak di bangku sekolah lagi, apabila beliau aktif dalam bidang tarian, lakonan dan nyanyian.

Rupanya, beliau juga pernah menerima tawaran merakamkan album sekitar era 1980-an.

Bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa dilupakan atas komitmen kerjaya sebagai pegawai kanan kerajaan yang tidak dibenarkan terikat dengan sebarang kontrak lain ketika itu.

“Jika disoroti kembali zaman awal, saya bermula sebagai seorang penari ketika di bangku sekolah. Kemudian saya menyertai pertandingan berlakon dan drama. Saya juga aktif menyanyi bersama band di majlis perkahwinan.

“Saya pernah ditawarkan untuk buat album sekitar tahun 80-an tapi hasrat itu tidak dapat diteruskan kerana saya bertugas pegawai kanan Kerajaan. Ketika itu, saya tidak boleh mengikat sebarang bentuk kontrak.

“Jadi, terkubur hasrat itu, tapi saya masih menyanyi untuk suka-suka. Jika boleh berjumpa dengan diri saya pada usia 20-an dahulu, saya nak bagitahu, apa yang kamu mimpikan, kini sudah tercapai,” katanya.

Dato’ Jalaluddin Hassan

Selepas lebih empat dekad dalam dunia seni, Dato’ Jalaluddin Hassan optimis untuk terus belajar dan tidak pernah menganggap pengalaman serta pengiktirafan yang diraih sebagai noktah dalam perjalanan kerjaya seninya.

“Sudah tentu ketika di zaman muda, kita sangat teruja dengan apa yang menanti kita di hadapan. Bila diberikan tawaran lakonan dan Allah kurniakan sedikit bakat dan diiktiraf, bagi saya ia belum mencukupi.

“Mungkin bila berlakon di dalam satu drama atau menang satu anugerah, ada kalanya kita rasa sudah hebat.

“Pada saya, ilmu itu luas dan sampai sekarang, saya masih mahu belajar. Saya juga tidak kisah untuk belajar bersama anak-anak muda.

“Saya mahu lahirkan suasana harmoni dan saya tidak menganggap diri ini sebagai legenda. Jika diberi kesempatan untuk kembali ke zaman muda, saya mahu buat yang lebih baik.

“Ketika kudrat masih kuat, saya teringin kembangkan kerjaya di luar,” kongsinya yang kini meniti usia 72 tahun.

Fazlina Ahmad Daud

Sebagai anak kepada pasangan seniman legenda Allahyarham Dato’ Ahmad Daud dan Allahyarhamah Datin Saadiah, penyertaan Fazlina Ahmad Daud di KES membawa makna yang cukup istimewa.

Selain mahu mencabar kemampuan diri, penyertaannya juga merupakan tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah putus mendoakan kedua-dua arwah ibu bapanya.

“Saya masuk ke pertandingan ini dengan niat untuk mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang senitasa mendoakan ibu dan bapa saya. Bila bergelar pelakon, di saat watak menuntut kita bersedih, kita oleh menagis.

“Namun, bagi penyanyi pula, bila sebak, mereka kena tahan perasaan itu. Saya pun tak sangka mampu mengawal emosi ketika di atas pentas. Disebabkan itu, saya amat menghormati kerjaya seseorang penyanyi.

“Sebenarnya saya sudah lama bermimpi untuk beraksi di sebuah pentas besar. Bila lihat bapa beraksi di atas pentas, timbulah angan-angan itu.

“Saya pasang Impian, satu hari nanti saya mahu menyanyikan lagu arwah ayah tapi lebih baik daripada beliau.

“Tuhan kata, impian itu tidak datang pada usia 19 tahun, 20 tahun atau 30 tahun tapi pada usia 51 tahun. Mungkin anda akan lihat sisi saya yang berbeza di KES,” katanya.

Khaty Azian

Walaupun pernah melakonkan watak sebagai penyanyi di dalam drama, Khaty Azian pula tidak pernah membayangkan dirinya benar-benar berdiri di atas pentas dan membuat persembahan secara langsung.

Lalu, KES menjadi platform terbaik untuknya menguji kemampuan serta mengatasi rasa gemuruh yang masih menghantui dirinya sehingga kini.

“Tunggulah minggu ketiga atau keempat nanti. Saya sudah ada ‘trademark’ sendiri. Tapi, tak pernah terbayang sebenarnya, tak pernah terfikir untuk berada di atas pentas pula tu.

“Jadi bila naik pentas, saya rasa sangat gemuruh. Apa yang dirancang, ada juga yang terlupa. Saya jadi tak berani nak tunjukkan kemampuan.

“Memanglah saya sudah biasa jadi hos atau menyanyi di acara karnival. Cuma nak buang perasaan gemuruh itu agak sukar.

“Kalau bercakap mengenai stail penyanyi kegemaran, saya gemar penyanyi yang punyai aura penghibur seperti Anita Sarawak, Ella, Wann dan Dayangku Intan,” katanya.

Rahhim Omar

Sebelum bergelar pelakon sepenuh masa, Rahhim Omar pernah bekerja sebagai kontraktor.

Walaupun sudah lebih tiga dekad dalam dunia lakonan, beliau tidak pernah menyangka akan beraksi di pentas nyanyian.

Baginya, penyertaan di KES menjadi peluang untuknya mencabar diri dalam bidang yang selama ini sekadar menjadi hobi.

“Saya tak terfikir langsung. Walaupun ceburi bidang lakonan, saya memang suka menyanyi. Kini, saya cabar diri untuk cuba beraksi di pentas besar.

“Alhamdulillah, setakat ini, daripada mula menceburi bidang lakonan, perjalanan saya dipermudahkan.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai seorang kontraktor. Kemudian saya memilih untuk menjadi pelakon sepenuh masa pada 2004. Saya mula berlakon pada tahun 1993.

“Bila berlakon, saya temui jiwa. Bila dapat buat perkara yang kita minat, dapat pula pendapatan untuk cari makan, Alhamdulillah,” katanya.

Kilauan Emas Selebriti bersiaran pada setiap Sabtu, jam 9 malam di saluran Astro Prima.

Anda juga boleh menstrim episod penuh menerusi Astro X3 dan sooka.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf