Berita

Pernah Kena ‘Sidai’ Berjam-Jam Di Set Penggambaran, Nafiz Muaz Hormat Kekangan Rakan Pelakon – “Saya Okay Saja Menunggu.”

Share

Pelakon Nafiz Muaz mendakwa dirinya pernah terpaksa menunggu hampir lima jam sebelum rakan pelakon tiba di set penggambaran.

Bagaimanapun, Nafiz menganggap situasi berkenaan sebagai sebahagian daripada cabaran dan komitmen yang perlu dihadapi dalam dunia seni.

Baginya, dia lebih memilih untuk memberi tumpuan terhadap kualiti kerja berbanding memikirkan perkara-perkara lain.

“Saya pernah kena tunggu empat hingga lima jam. Saya tetap akan menunggu. Saya seorang yang sangat menghargai kerja saya. Pada saya, kerja saya mudah dan kena berlakon sahaja.

“Daripada kena kena kerja di tempat kontrak dan angkat barang-barang berat, bagi saya, menunggu itu sebahagian daripada kerja saya.

“Saya tidak akan merungut,” katanya kepada MH.

Nafiz berkata demikian ketika ditemui pada acara tayangan perdana drama Yes! Captain Zul Aaryan, baru-baru ini.

Lebih Kasihankan Krew Produksi

Menurut pelakon filem Walid itu lagi, apa yang lebih dirisaukannya ialah kesan kelewatan terhadap anggota produksi lain yang perlu mengikut jadual kerja yang telah disusun sepanjang penggambaran.

“Cuma saya kasihan kerana ia akan mengganggu waktu orang lain seperti penolong pengarah. Dia juga ada jadual kerja yang sudah disusun.

“Saya okay sahaja menunggu. Saya tak pernah maki pelakon lain yang datang lambat dan saya terpaksa menunggu.

“Sepanjang penggambaran selama dua bulan, pasti ada satu atau dua hari kita terlajak sebab penat. Saya harap mereka juga faham situasi saya,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Nafiz berkata pengalaman tersebut mengajarnya untuk lebih bertoleransi serta memahami kekangan yang dihadapi oleh pelakon lain.

“Saya juga belajar untuk faham situasi orang lain. Saya tak minta pun orang lain untuk jadi macam saya.

“Saya hormat orang lain dan saya harap mereka juga hormat kekurangan saya.

“Jadual kerja kita sangat panjang. Kalau bermasam muka, ia akan jadi tak best,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf