
Menduduki tangga tercorot di konsert minggu kedua Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), maestro muzik dan juri tetap, Datuk Ramli MS, mengambil keputusan memberi peluang kepada Datuk Elaine Kang untuk membuktikan kemampuannya dengan membawakan lagu berbahasa Cina, minggu hadapan.
Menurut Ramli atau lebih mesra disapa Tok Ram, beliau melihat Elaine banyak menghabiskan masa untuk menghafal lirik sehingga terpaksa mengetepikan aspek persembahan lain.
“Saya merupakan pengarah muzik untuk Elaine Kang. Jadi, saya nampak sengsara dia bila nak menghafal lirik. 80 peratus masanya dihabiskan pada bahagian lirik sahaja.
“Jadi, dia tak dapat nak fokus pada bahagian penjiwaan, tempo dan aspek-aspek lain. GV ini memang platform untuk mengalu-alukan artis lama tapi kita tak kejam untuk terus buang mereka yang lemah.
“Saya memang tak tahu yang minggu ini tiada penyingkiran. Tugas juri hanya beri markah,” katanya ketika ditemui selepas berakhir konsert minggu kedua GV12 di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Tok Ram bagaimanapun memuji komitmen dan usaha Elaine yang jelas mahu memberikan persembahan terbaik sepanjang dua minggu pertama pertandingan.
“Saya nampak Elaine ini sangat komited terutamanya dalam aspek penampilan. Baju-baju yang digayakan ketika persembahan itu semua disediakan pasukannya sendiri.
“Orang lain tiada baju-baju seperti itu. Malah, ketika rehearsal pun, dia sangat komited. Jadi, saya rasa adil untuk kita berikan peluang kepada dia untuk menyanyikan lagu dalam bahasa ibundanya.
“Lagipun, di GV ini, belum pernah ada peserta yang membawakan lagu dalam Bahasa Cina. Jadi, kita beri peluang atas kapasiti kemampuan penyanyi,” ujarnya lagi.

Hormat Keputusan
Selepas tamat persembahan minggu kedua, Elaine mengejutkan ramai apabila tampil membuat kenyataan seolah-olah mahu mahu menarik diri dalam saingan disebabkan faktor kesihatan.
Bagaimanapun, juri tampil memberikan semangat dan mahu Elaine terus berjuang pada minggu hadapan.
Mengulas lanjut mengenai keadaan tersebut, Tok Ram menjelaskan, pihak juri akan menerima dengan hati terbuka sekiranya Elaine tidak dapat meneruskan perjuangan selepas ini.
“Apa yang saya tahu, sebelum ini, Elaine pernah bagitahu, dia ada masalah jantung. Mungkin dia terlalu stress dan kami juga tidak mahu terlalu memaksa.
“Jika esok lusa doktornya maklumkan yang Elaine kena berehat, kita kena hormat. Kesihatan adalah perkara nombor satu,” ujarnya lagi.

Keputusan Minggu Kedua
Terdahulu dalam saingan minggu kedua GV12, penyanyi Singapura, Iskandar Ismail, berjaya mengungguli kedudukan teratas dengan markah sebanyak 71.50% menerusi persembahan bertenaga lagu Warisan Wanita Terakhir.
Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing disandang oleh Nubhan dengan 67.75% dan Mendua 67.50%.
Sementara itu, tiga peserta di kedudukan terendah ialah SHY8, diikuti Mel Sakura dan Datuk Elaine Kang.
Tiada penyingkiran diumumkan minggu ini, membolehkan kesemua 13 peserta mara ke minggu ketiga.
Barisan bintang GV12 terdiri daripada Nubhan, Mark Adam, Datuk Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra, Mell Sakura dan Freshies (Ejie & Shima).
Turur tersenarai ialah Shae, Ruri Repvblik, Mendua (Pungky, Sasha & Diana), Iskandar Ismail serta SHY8sebagai peserta wildcard.
Musim ke-12 ini mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang, dan Datuk Ramli MS sebagai juri tetap, manakala pengacara ialah Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
Program yang berlangsung selama 12 minggu ini disiarkan secara langsung dari MBSA, Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




