“Perjanjian Penyelesaian Perceraian Merangkumi Hak Isteri Seperti…,” – Peguam Syamsul Yusof

Share

Peguam mewakili Syamsul Yusof, Azmi Mohd Rais mendedahkan pengarah itu dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana telah mencapai kata sepakat mengenai penyelesaian tuntutan perceraian.

Menurut Azmi, berlaku perbincangan saat akhir pada malam Ahad melibatkan Syamsul dan Puteri Sarah bagi membincangkan perkara berkaitan.

“Pada hari ini ditetapkan tarikh sebutan seterusnya untuk kes cerai ini.

“Sepatutnya hari ini adalah untuk menerima laporan jawatankuasa pendamai (JKP) yang telah dijalankan sebelum ini.

“Tetapi sebelum ia berlaku, kami maklumkan kepada Hakim, kedua-dua pihak telah berjumpa sesama sendiri malam semalam dan telah mencapai kata-kata sepakat mengenai penyelesaian tuntutan perceraian.

“Jadi kami baru mendapat terma pada pagi tadi dan terus membuat draf perjanjian.

“Lalu kami telah menyerahkan sesalinan draf perjanjian itu kepada kepada peguam pihak sana untuk disemak, tertakluk kepada persetujuan pihak sana,” katanya kepada MH.

Ketika ditanya adakah jalan yang diambil menjadi petanda Syamsul bersetuju berpisah cara baik, Azmi mengiyakan perkara terbabit.

“Insya-Allah, begitulah cerita dia dengan perjanjian tersebut.

“Perjanjian penyelesaian perceraian yang merangkumi hak-hak isteri selepas cerai, hadanah, nafkah anak dan juga global, kes-kes lain seperti kes nusyuz. Tunggu minggu hadapan,” katanya lagi.

Sementara itu, Syamsul hanya mengulas ringkas mengenai prosiding hari ini dan mengharapkan yang terbaik untuk semua pihak.

“Semua sudah selesai, semua demi kebaikan anak-anak. Saya tak nak cakap lebih-lebih,” komen Syamsul ringkas.

Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.

Kemelut rumah tangga pasangan ini dilaporkan sudah berlarutan sejak empat tahun lalu.

Aktres itu kemudiannya memfailkan penceraian pada 16 Januari lalu.

Terdahulu, Syamsul mendedahkan telah berkahwin buat kali kedua dengan Ira Kazar pada 6 Januari lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

IKLAN