“Perbuatan Ini Menunjukkan Contoh Yang…,” – Aksi Catwalk Sambil Pegang Rokok Di KLFW2022 Tular, KP KKM Tegur

Share

Tindakan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh yang dilihat memegang sebatang rokok yang tidak dinyalakan di ketika muncul di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) nyata mengundang reaksi ramai pihak.

Antara yang turut memberikan teguran berhubung isu tersebut termasuklah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Dr Noor Hisham, tindakan artis tersebut secara tidak langsung mampu memberikan pengaruh yang tidak baik buat masyarakat.

“KKM memandang serius terhadap isu berkaitan artis yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai.

“Perbuatan ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kepada kanak-kanak dan remaja,” tulisnya.

Terguran tersebut dikongsikan sendiri oleh Dr. Noor Hisyam menerusi laman Twitter rasmi miliknya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua pihak termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM mendidik masyarakat untuk menjauhi budaya merokok.

“KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, penyanyi lagu Angin Kencang ini juga pernah mencetus sensasi gara-gara menghisap rokok elektronik ketika ditemu bual media dalam sebuah acara sekitar Julai lalu.

Pada ketika itu, Noh sedang ditanya mengenai spekulasi keretakan rumah tangganya bersama Mizz Nina.

Bagaimanapun, baru-baru Noh dan Mizz Nina telah mengumum penceraian mereka dan memutuskan untuk membawa haluan masing-masing.

Pasangan itu berkahwin pada 2 Julai 2011 dan tidak dikurniakan cahaya mata tetapi mereka mengambil seorang anak angkat bernama Musa sekitar April lalu.

Sumber & Kredit Foto: Twitter Dr. Noor Hisham

IKLAN