Seramai 12 peserta dari pelbagai latar belakang telah dipilih dan kini bersedia memberi saingan merebut gelaran juara Kilauan Emas 2025!

Setiap peserta yang terpilih mempunyai sejarah panjang dan tersendiri dalam kecintaan mereka terhadap bidang nyanyian. Zanie, Vijay, Leeza dan Majid sudah bersedia untuk melakar sejarah!

Zanie Bawa Pengalaman Sebagai Penyanyi Kebudayaan

Perbezaan Pengalaman, Satu Matlamat! Zanie, Vijay, Leeza & Majid Buka Langkah Di Kilauan Emas 2025

Hasrat Zanie untuk menyerai program realiti nyanyi pernah tercapai pada tahun 2018 namun, dia terpaksa menarik diri demi keutamaan terhadap  pekerjaan hakiki.

Bagaimanapun kini, Zanie atau nama sebenarnya Noor Azani Mat Zin, 44, mahu menebus kembali kesempatan tersebut dengan menyertai KE 2025 bersama impian yang sudah lama terpendam.

“Saya agak hampa kerana terpaksa undur diri sebelum ini kerana ketika itu, saya masih baru mengisi ruang kerjaya di Majlis Perbandaran Melaka Bersejarah.

“Kali ini, saya rasa terpanggil untuk sekali lagi cuba nasib dan ahamdulilah diterima untuk sama-sama bersaing dengan rakan peserta lain.

“Syukur kerana pihak pengurusan di tempat saya bekerja beri peluang kepada saya masuk bertanding dan setakat ini, respon mereka positif. Doakan semoga semuanya lancar.

“Pada saya, yang terpilih pasti tak kurang hebatnya. Cuma mungkin jadi kelebihan pada saya sudah terbiasa dengan pelbagai genre muzik.

“Saya mampu menyampaikan lagu-lagu asli, Bahasa Inggeris, lagu rancak dan lain-lain bahasa. Apa sahaja permintaan daripada pihak deligasi, kita kena turutkan. Tak boleh kata tidak.

“Saya pernah dapat permintaan untuk menyanyikan lagu dalam Bahasa Filipina beberapa jam sebelum persembahan bermula. Jadi, saya sudah biasa dengan tekanan,” katanya.

Dulu Hanya Nyanyi Di Bilik Air, Tuah & Peluang Vijay

Perbezaan Pengalaman, Satu Matlamat! Zanie, Vijay, Leeza & Majid Buka Langkah Di Kilauan Emas 2025

Siapa sangka, bermula hanya sebagai penyanyi di bilik air, kini Vijay bakal melangkah ke pentas terbesar di dalam hidupnya bagi mempamerkan bakat dalam dunia nyanyian.

Ads

Menurut Vijay atau nama lengkapnya Jeyakumaran, 51, dia mahu sertai KE 2025 selepas mendapat saranan daripada isterinya yang juga peminat tegar drama-drama Melayu.

“Sebenarnya, isteri yang beriya suruh saya masuk bersaing. Dia suka tonton drama-drama Melayu. Ada satu ketika, dia ternampak iklan Kilauan Emas 2025.

“Jadi, saya hanya mencuba nasib. Tak sangka saya akan sampai ke tahap ini. Jujurnya, saya tiada pengalaman menyanyi. Kalau menyanyi pun di bilik air sahaja.

“Ini adalah pertama saya untuk membuat persembahan secara ‘live’ depan penonton. Kali terakhir saya rasa teruja seperti ini adalah ketika berkahwin 16 tahun lalu. Waktu itu, saya rasa seperti raja sehari. Semua benda orang siapkan. Sama juga ketika masuk ke program ini.

“Selain itu, saya juga gemar dengan lagu-lagu klasik daripada artis lama seperti Datuk M. Nasir, Datuk DJ Dave, Datuk Sharifah Aini dan Uji Rashid.

“Saya sudah bersedia tapi saya juga sedar tahap pengalaman saya berbanding peserta lain. Saya anggap diri ini kerdil tapi saya akan cuba yang terbaik untuk beri saingan,” katanya kepada MH.

Percubaan Kali Kedua, Ray-D Jadi Kekuatan Leeza

Perbezaan Pengalaman, Satu Matlamat! Zanie, Vijay, Leeza & Majid Buka Langkah Di Kilauan Emas 2025

Meskipun gagal melayakkan diri ke Top 12 Kilauan Emas tahun lalu, namun ia nyata tidak mematahkan semangat Leeza untuk kembali mencuba nasib.

Ads

Menurut Leeza, 54, yang kini bekerja sebagai pereka grafik sambilan berkata, dia datang ke uji bakat KE 2025 dalam keadaan yang lebih bersedia dan bersyukur bila namanya terpilih ke peringkat 12 terbaik.

Leeza juga optimis membawa semangat anaknya, Ray-D yang telah dinobatkan selaku naib juara Big Stage Alpha.

“Hobi saya adalah menyanyi. Tahun lepas saya sudah pernah datang ke uji bakat tapi saya hanya berjaya mengisi top 20 sahaja.

“Mungkin sudah tertulis rezeki saya adalah pada tahun ini. Alhamdulillah, percubaan kedua ini berjaya.

“Ketika Ray-D masih bertanding di Big Stage Alpha, saya dapat tahu tentang uji bakat Kilauan Emas. Sepanjang lapan minggu saya berikan sokongan, saya juga memerhatikan pentas di Royal Theatre ini.

“Ia pentas yang sangat besar. Saya tak pernah jejak kaki di pentas sebesar ini dan anak ada juga berkongsi tips fasal persembahan.

“Insya-Allah saya cuba buat sehabis baik. Ray-D minta saya enjoy sahaja dengan persembahan dan tak perlu fikirkan tentang orang lain,” ujarnya.

Majid Tak Anggap Diri Kerdil, Peserta Lelaki Termuda

Perbezaan Pengalaman, Satu Matlamat! Zanie, Vijay, Leeza & Majid Buka Langkah Di Kilauan Emas 2025

Ads

Selepas lebih dua dekad bergiat aktif dalam dunia nyanyian, impian Majid untuk menyertai program realiti akhirnya menjadi kenyataan.

Majid atau nama lengkapnya Majid Mohd Noor, 45, menjelaskan, walaupun peluang itu hadir agak lambat namun, dia tetap mahu memanfaatkan kesempatan ini demi menyerlahkan bakat nyanyiannya.

“Kilauan Emas ini sudah jadi impian saya sejak dahulu. Saya sudah lama bergelar penyanyi tapi tidak pernah dapat peluang untuk masuk program realiti.

“Bila sudah sampai ke usia sebegini, barulah peluang itu datang. Saya nak tunjukkan kepada orang luar tentang bakat yang saya ada.

“Saya mula aktif menyanyi sejak usia 20 tahun dan sehingga kini saya masih lagi memenuhi undangan jemputan.

“Saya merupakan peserta lelaki termuda di dalam Kilauan Emas musim ini dan cukup teruja untuk menimba ilmu dengan peserta-peserta yang lebih banyak pengalaman.

“Namun, saya tak rasa diri saya kerdil kerana setiap orang ada kekuatan sendiri. Saya berserah sepenuhnya kepada juri dan penonton untuk menilai.

“Jika ada suara bagus sekali pun, kalau terlalu gementar, persembahan takkan menjadi. Persaingan dengan diri sendiri lebih penting,” katanya.

Terdahulu, KE2025 bakal membuka tirai menerusi konsert minggu pertama pada 16 Ogos ini, jam 9 malam di saluran Astro Prima atau strim secara fleksibel di Astro Go dan sooka.

Sementara itu, selebriti popular, Elly Mazlein diberikan tanggungjawab selaku hos utama dan akan bergandingan bersama Joey Daud selaku pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas.

Malah, KE2025 turut mengekalkan primadona Malaysia, Erra Fazira sebagai juri tetap, digandingkan bersama Roy Azman dan juri terbaharu bersuara emas, Ning Baizura.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!

KLIK DI SEENI
Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
Ads