Penyanyi terkenal Britain, Perrie Edwards, selamat melahirkan seorang bayi perempuan hasil hubungan bersama tunangnya, pemain bola sepak profesional, Alex Oxlade-Chamberlain.
Berita gembira itu dikongsikan Perrie menerusi hantaran di media sosial, memaparkan momen penuh emosi bersama Alex serta anak sulung mereka, Axel, yang kini berusia empat tahun. Pasangan berkenaan turut mendedahkan nama bayi perempuan mereka, Alanis Valentine.
Kelahiran ini sekali gus melengkapkan lagi kebahagiaan keluarga kecil penyanyi yang mencipta nama bersama kumpulan sensasi Britain, Little Mix, selepas melalui perjalanan kandungan yang tidak mudah.
Dalam beberapa temu bual sebelum ini, Perrie secara terbuka berkongsi pengalaman peribadi yang menyayat hati apabila pernah mengalami keguguran, termasuk satu insiden kehilangan bayi pada usia kandungan 24 minggu.
Pengalaman itu disifatkan sebagai antara detik paling gelap dalam hidupnya, sekali gus memberi kesan emosi yang mendalam kepada dirinya dan pasangan.
Perrie dan Alex mula menjalin hubungan sejak 2017 sebelum mengikat tali pertunangan pada 2022. Kelahiran anak kedua ini dilihat sebagai simbol harapan dan sinar baharu buat pasangan berkenaan selepas melalui episod kehilangan yang perit.
Ads
Untuk rekod, Perrie Edwards mula meraih perhatian dunia hiburan selepas muncul sebagai peserta rancangan realiti The X Factor UK pada 2011 sebelum bergabung membentuk kumpulan Little Mix, yang kemudiannya mencatat kejayaan antarabangsa.
Antara lagu popular yang melonjakkan namanya termasuk Wings, Black Magic, Shout Out to My Ex dan Secret Love Song, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara vokalis wanita paling berpengaruh di Britain.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dikritik kerana dikatakan kurang popular dan tidak memiliki aura untuk menggalas watak sebagai hero, pelakon Firdaus Karim tetap bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan pihak produksi dan stesen TV untuk membintangi drama Doa Yang Terlindung.
Menurut Firdaus, naskhah Doa Yang Terlindung merupakan pengalaman pertamanya muncul dalam slot drama yang disiarkan pada waktu perdana.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Firdaus menerusi satu hantaran di Instagram.
“Pertama kali bermain dalam dunia drama TV perdana. Mengalas tanggungjawab membantu menjalankan naskah bersama para pemain berpengalaman drama perdana.
“Terima kasih kepada Creative Skill Solution, Idora Abdul Rahman, TV3 dan Drama Sangat kerana berani mengambil risiko melibatkan saya untuk bermain watak ini,” tulisnya.
Dalam masa sama, Firdaus turut berharap agar drama tersebut bukan sekadar hiburan, malah mampu memberikan pengajaran dan menyentuh hati penonton.
“Terima kasih atas sambutan luar biasa untuk naskah Doa Yang Terlindung. Semoga naskah ini memberi manfaat, tauladan dan sempadan buat kita semua,” kongsinya lagi.
Sementara itu, pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga ini turut menyeru pihak stesen TV dan produksi agar terus membuka ruang kepada bakat-bakat baharu, khususnya mereka yang kurang popular.
“Sambutan ini juga adalah satu refleksi positif buat stesyen tv dan produksi di luar sana agar lebih terbuka, yakin dan berani bekerja bersama pemain-pemain baru yang ada.
“Pintu sudah diketuk dan dibuka, impaknya sudah terpampang depan mata. Fenomena sedang terukir.
“Ayuh teman-teman seperjuangan yang masih bergelut mencari peluang, kita jalan terus bersama,” ujarnya lagi.
Selain Firdaus, drama Doa Yang Terlindung turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Fasha Sandha, Sharifah Rose dan Nafiz Muaz.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber: Instagram Firdaus Karim
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dunia hiburan dan media sosial Indonesia dikejutkan dengan pemergian pempengaruh terkenal dan pelakon, Lula Lahfah, yang dilaporkan meninggal dunia pada usia 26 tahun di sebuah unit apartmen di kawasan Dharmawangsa, Jakarta Selatan, pada 23 Januari 2026.
Pihak Polis Metro Jaya mengesahkan arwah ditemui dalam keadaan tidak bernyawa ketika pemeriksaan dilakukan di kediamannya. Menurut kenyataan polis, ketika ditemui, tubuh Lula berada dalam keadaan kaku dan terdapat beberapa kesan lebam kebiruan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan kesan tersebut belum boleh disimpulkan sebagai unsur jenayah kerana ia berkemungkinan berkait dengan proses semula jadi selepas kematian.
Polis turut memaklumkan bahawa Lula sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan pernah mendapatkan rawatan perubatan beberapa minggu sebelum kejadian.
Sehubungan itu, siasatan lanjut termasuk pemeriksaan tempat kejadian serta prosedur forensik masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Lula dikenali sebagai antara pempengaruh muda Indonesia yang memiliki pengaruh besar di media sosial, khususnya menerusi kandungan berkaitan gaya hidup, kecantikan dan muzik.
Kerjayanya bermula sebagai penyanyi dengan memuat naik rakaman nyanyian di SoundCloud sebelum namanya melonjak sebagai personaliti digital dengan jutaan pengikut di Instagram dan TikTok.
Walaupun dilaporkan kurang sihat, arwah masih aktif berkongsi kandungan di media sosial sehingga beberapa hari sebelum pemergiannya, sekali gus menimbulkan rasa terkejut dalam kalangan peminat dan rakan industri.
Pemergian Lula turut memberi kesan mendalam kepada pasangan hidupnya, Reza Oktovian, yang juga merupakan anggota kumpulan muzik elektronik terkenal Weird Genius. Difahamkan, beberapa komitmen seni Reza terpaksa dibatalkan susulan tragedi tersebut.
Imbas kembali, selain bergelar seorang influencer, Lula juga bergelar seorang pelakon dan membintangi beberapa filem seperti Total Chaos, The Underdogs dan Harusnya Horror. Selain itu beliau juga pernah muncul dalam muzik video Raffi Ahmad bertajuk Menerka-Nerka 2.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menunjukkan sokongan luar biasa, program realiti popular Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) telah menganjurkan program Vaganzers Karok Vaganza pada 16 Januari lalu, dua hari sebelum malam kemuncak berlangsung.
Acara santai namun meriah yang berlangsung di Mahajara Karaoke, IOI City Mall, Putrajaya bermula jam 8.00 malam itu menghimpunkan kira-kira 70 peminat setia atau ‘Vaganzers’, bersama bintang-bintang GV12 seperti Shy8, Korrie, Krisya dan Freshies.
Penganjuran program ini secara tidak langsung berjaya mengeratkan hubungan antara peminat dan artis, sekali gus menyemarakkan lagi ‘musim’ Gegar Vaganza.
Bagi penyanyi dan pelakon Shy8, dia amat menghargai sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh para Vaganzers sepanjang saingan musim terbaharu ini berlangsung.
Menurutnya, peminat GV12 sangat unik kerana mereka benar-benar menghargai usaha para anak seni dan bukan sekadar menyokong artis kegemaran masing-masing sahaja.
“Saya kagum dengan semangat mereka. Ada diantara mereka yang sokong kami setiap minggu. Kalau tiada kelompok peminat-peminat yang seperti ini, rasanya makin lama industri kita akan suram.
“Tiada mereka, industri kita tidak akan meriah. Sebagai salah seorang anggota GV12, saya ucapkan terima kasih kepada semua kerana anda bukan sahaja menyokong penyanyi pilihan kalian sahaja tapi turut menyokong peserta-peserta lain.
“Itu yang membuktikan anda ini merupakan peminat professional,” katanya.
Dalam pada itu, Korrie turut berharap agar acara seumpama ini dapat diperbanyakkan pada masa akan datang kerana ia memberi ruang kepada artis dan peminat untuk berinteraksi dengan lebih dekat.
“Bila ada program bersama Vaganzers ini, saya rasa sangat seronok. Kita dapat mengeratkan hubungan bersama peminat. Kita sibuk dengan kerjaya tapi bila ada acara-acara seperti ini, saya gembira bila dapat beramah mesra dengan mereka.
“Malah, saya juga dapat kembali bertemu dengan peminat selepas tersingkir. Ketika di GV12, waktu kita agak terhad. Kali ini, kita ada waktu yang agak panjang untuk bersama,” kongsinya.
Sementara itu, bagi Freshies, keterujaan apabila dapat melihat sisi lain peminat yang jarang mereka saksikan sebelum ini menjadi momen penuh makna.
Menurut salah seorang anggotanya, Shima atau lebih mesra disapa Mak Su, gelagat para Vaganzers bukan sahaja mencuit hati, malah membantu menghilangkan tekanan.
“Kami memang enjoy sakan. Siap berjoget lambak lagi. Saya ni sebenarnya demam selsema dan sudah makan ubat. Bila mula sahaja karaoke, hilang semua mengantuk dan demam.
“Saya rasa aktiviti-aktiviti seperti inilah yang buatkan kita gembira dan sihat. Sakit-sakit pun jadi cepat baik.
“Kiranya Mak Su ni nak lepas dendam. Minggu ke-10 sangat stress. Terima kasih kepada Vaganzers dan Media Hiburan. Program ini memang sangat happpening.
“Kami juga dapat berjumpa dengan Korrie, Shy8 dan Krisya. Terima kasih kerana libatkan kami. Kalau ada lagi, jemputlah nanti,” katanya.
Menurut salah seorang Vaganzers, Roslan Mohd Khairon atau lebih mesra dengan panggilan Angah Banting, program ini disifatkan sebagai antara usaha Astro dalam menghargai sokongan padu peminat selama ini.
“Program pada malam ini berjalan dengan lancar dan sangat bermakna. Kami rasa sangat puas bila dapat meluangkan masa dan berkaraoke sepuasnya bersama bintang-bintang GV12 ini.
“Kami pun tak sangka dapat jumpa dan meluangkan masa sedekat ini dengan mereka. Hubungan erat sesama Vaganzers yang menjadikan acara hari ini sukses.
“Saya juga tak sangka dapat menang kategori Vaganzerz Paling Havoc Lelaki. Walaupun ramai pesaing daripada team-team lain, rezeki memihak kepada saya,” katanya.
Sementara itu, Faiz Sarudin yang baru pertama kali menyertai Vaganzers tahun ini menganggap Vaganzers Karok Vaganza sebagai platform terbaik untuk mencipta kenangan indah bersama bintang GV12.
“Terima kasih kepada Vaganzers kerana telah menganjurkan program bersama bintang-bintang GV12. Malah, kami dapat menyanyi bersama dengan artis-artis ini.
“Ini tahun pertama saya menyertai Vaganzers. Tak sangka pula mereka punyai pelbagai aktiviti-aktiviti yang best. Tak rugi kalau join Vaganzers ini.
“Kita dapat peluang untuk dekat dengan artis pilihan kita. Ia secara tidak langsung memberikan 1001 kenangan indah buat kami,” akhirinya.
Pada acara ini, setiap Vaganzers dibahagikan kepada enam kumpulan dan mereka perlu bersaing dalam kategori duet serta cabaran Pass The Mic bagi merebut hadiah yang ditawarkan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!