
Penyanyi asal Singapura, Iskandar Ismail menyifatkan segala pengorbanannya untuk menguasai lagu Telugu popular, Golimaar nyata berbaloi apabila namanya diumumkan juara minggu ke lapan Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), malam tadi.
Menurut Iskandar, untuk minggu ini dia perlu berusaha lebih gigih memandangkan persembahannya turut menuntutnya untuk menari di samping menyampaikan lagu dalam bahasa asing.

“Saya rasa pengorbanan minggu ini berbaloi. Saya berlatih tarian sampai sakit-sakit badan. Malah, nak hafal lirik dalam Bahasa Telegu juga sangat mencabar. Ia bukan bahasa kita.
“Selepas sahaja konsert minggu lepas, esoknya saya sudah mula hafal lirik. Walaupun minggu ini temanya Fun Fair, tapi semua peserta memberikan persembahan terbaik.
“Saya pun tak sangka berjaya mendapat tempat pertama. Mungkin ini semua berkat doa dan usaha yang tak pernah putus,” katanya kepada MH.
Iskandar berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu ke-8 GV12 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Cabaran Lirik, Tarian & Pujian Juri
Mengulas lanjut, Iskandar menjelaskan walaupun lagu tersebut sangat mencabar, dia tidak mahu membuat persembahan secara sambil lewa atau asal boleh.

“Lagu ini memang sangat sukar. Nak hafal lirik pun dah payah. Kali ini, ada koreografi pula. Takkanlah saya nak kena tengok lirik dan dalam masa sama kena menari. Itu lagi susah.
“Jadi, saya perlu berkorban dengan cara menguasai lirik terlebih dahulu. Barulah saya boleh masuk dengan tarian.
“Walaupun saya sudah hafal lirik, saya masih tak dapat momentum ketika menari. Alhamdulillah, pada hari Sabtu, saya berlatih lagi dengan guru tarian untuk menguasai setiap koreografi.
“Malah, saya juga menambah elemen kejutan dengan kehadiran dua penari berbakat. Itu pun dirancang pada saat akhir. Mungkin inilah hasil daripada pengorbanan saya minggu ini,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Iskandar mengakui teruja apabila persembahannya itu mendapat pujian daripada juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat.

“Saya rasa terharu bila Tok Naz memberikan kata-kata semangat kepada saya. Saya memang langsung tak tengok lirik dan perlu memaparkan visual yang cantik dengan kehadiran penari-penari latar.
“Saya tak boleh terlalu fokus dengan lirik. Saya memang sudah lock lirik dalam kepala dan faham apa maksudnya.
“Bila dapat sama-sama buat tarian dengan penari latar, saya sangat gembira,” kongsinya lagi.
Tambah Iskandar, carian di internet juga banyak membantunya dari aspek sebutan dan memahami makna lirik.

“Pada zaman ini, ia lebih mudah. Kita sudah ada bantuan internet. Jadi, kita boleh cari tahu dan memahami setiap makna perkataan. Saya juga perlu betul-betul mendengar setiap rangkap.
“Saya juga dapat belajar tentang sejarah dan jalan cerita lagu ini. Zaman sudah canggih,” akhirinya.
Terdahulu, Iskandar kembali merampas kedudukan pertama selepas meraih markah tertinggi 74.50 peratus.
Pada malam tadi, kesemua peserta GV12 perlu menyahut cabaran menyanyikan lagu-lagu di luar zon selesa yang dipilih ketua juri, Datuk Ramli MS.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




