Komuniti pencinta makanan antarabangsa dikejutkan dengan laporan mengenai kematian tragis pempengaruh makanan terkenal, Michael Duarte, yang ditembak mati oleh seorang pegawai sheriff di Texas, Amerika Syarikat, pada 8 November lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, kejadian berlaku di kawasan Castroville selepas pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berhubung seorang lelaki yang bertindak agresif sambil memegang pisau.
Duarte, 35, yang lebih dikenali menerusi akaun Food With Bear Hands, dilaporkan menjerit ke arah seorang pegawai wanita daripada Medina County Sheriff’s Office sebelum enggan mematuhi arahan untuk berhenti dan berbaring.
Dalam situasi tegang itu, pegawai berkenaan melepaskan dua das tembakan yang mengenai Duarte. Beliau kemudian dikejarkan ke sebuah hospital di San Antonio sebelum disahkan meninggal dunia. Pihak berkuasa Texas menyifatkan tindakan tersebut sebagai respons terhadap ancaman yang dihadapi pegawai terbabit.
Ads
Duarte yang berasal dari California merupakan figura popular dalam komuniti digital, terkenal dengan video masakan, khususnya kandungan berasaskan BBQ dan outdoor grilling.
Ads
Akaunnya di pelbagai platform media sosial mengumpulkan lebih dua juta pengikut, menjadikannya antara nama berpengaruh dalam dunia food content global yang menjadi rujukan dan tontonan ramai.
Ads
Keluarganya sebelum ini hanya merujuk kejadian itu sebagai “insiden yang ngeri” tanpa memperincikan punca kematian. Laporan terbaharu bagaimanapun mengesahkan tragedi itu melibatkan tembakan oleh pihak berkuasa ketika menangani panggilan kecemasan.
Difahamkan, Duarte meninggalkan seorang isteri, Jessica, serta anak perempuan mereka, Oakley, yang kini berusia enam tahun. Sebuah tabung GoFundMe turut dilancarkan bagi membantu keluarga berkenaan menampung kos pengebumian serta pengurusan membawa pulang jenazah ke California.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Hujung minggu lalu, Malaysia dikejutkan dengan kemunculan entiti badut menyeramkan, Pennywise, yang dilihat muncul di acara tayangan perdana episod pertama ‘IT: Welcome To Derry’ yang berlangsung di TGV KLCC, Kuala Lumpur.
Bermula hanya sekadar khabar angin, kehadiran Pennywise di acara anjuran Astro One dan HBO Max itu nyata membuatkan tetamu panik dan tidak berhenti menjerit!
Masakan tidak, beberapa minit sebelum tayangan bermula, para penonton terkejut apabila melihat bukan satu, tetapi tiga entiti menyerupai Pennywise masuk dan ‘mengepung’ setiap ruang di dalam panggung wayang.
Bagaimanapun, suasana kembali tenang selepas kehadiran ‘detektif’ yang berjaya mengusir Pennywise keluar daripada panggung, sekali gus memulihkan keadaan.
Sebelum tayangan bermula, para penonton serta pempengaruh media sosial yang hadir turut menikmati pelbagai aktiviti interaktif menarik seperti cabaran ‘Derry Case File’.
Dalam aktiviti ini, peserta perlu menyelesaikan misteri dan mencari petunjuk mengenai kes kehilangan kanak-kanak yang berlaku di Derry, Maine.
Selain itu, para tetamu juga berpeluang merasai pengalaman seram ketika bergambar di photobooth IT: Welcome To Derry, selain membawa pulang barangan eksklusif yang sememangnya “cool gila!”.
Malah, pengacara dan penyampai radio Hani Fadzil, yang sama-sama hadir, turut teruja berkongsi pandangannya selepas menonton episod pertama siri tersebut.
“Saya sebenarnya penakut dan tak pernah terfikir pun nak menonton siri seram seperti ini. Pada tayangan episod pertama tadi, saya tiba-tiba jadi agak berani untuk menonton siri ini.
‘IT: Welcome To Derry’ sangat menarik dan menghiburkan kerana kita dapat melihat bermacam-macam jenis karakter dan membuatkan kita tertunggu-tunggu apa yang terjadi pada episod yang akan datang,” katanya kepada MH.
Bagi pelakon Afiq Hamidon, yang juga peminat novel-novel tulisan Stephen King pula, dia akui teruja apabila karya itu diadaptasi menjadi drama.
“Saya memang peminat novel Stephen King. Bila saya baca novel dan tonton siri ini, ia ada banyak persamaan dan juga perbezaan.
“Bila saya dapat tahu mereka akan menerbitkan siri ini, saya sangat teruja. Saya memang suka universe ‘IT’ ini.
“Penceritaannya sangat menarik dan kualiti barisan pelakon juga sangat luar biasa walaupun mereka masih kanak-kanak,” katanya.
Menariknya, pelakon asal Bill Skarsgård kembali memegang watak ikonik Pennywise selepas kali terakhir muncul dalam IT Chapter Two (2019). Turut membintangi siri ini ialah Taylour Paige, Jovan Adepo, dan Chris Chalk.
Antara tarikan utama siri ini ialah penceritaan lebih mendalam mengenai asal-usul Pennywise, selain memperlihatkan bagaimana kejahatan mula berakar dalam komuniti bandar Derry itu.
Strim IT: Welcome To Derry di HBO MAX, pengalaman terbaik di Astro One!
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Ruhainies, Risteena Asfan Shah, Syura Badron, Qistina Raisya, Zarina Zainuddin, Mark Adam antara selebriti terkenal yang bakal menyerikan Havoc Trio Festival 2025, penganjuran mega oleh Havoc Event & Management Sdn. Bhd.
Turut sama dijangka turun padang ialah Azza Elite, Daud Latah, Chef Ammar, Saharul Ridzwan, Vokey dan ramai lagi, menerusi acara yang akan berlangsung selama empat hari, dari 4 hingga 7 Disember 2025, bertempat di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, bermula dari 11 pagi hingga 11 malam setiap hari itu.
Havoc Trio Festival 2025 ialah sebuah festival tahunan yang menghimpunkan tiga segmen utama iaitu Year-End Sale, Food Festival dan Back to School Fair di bawah satu bumbung.
Menampilkan lebih 300 vendor pelbagai kategori termasuk makanan viral, gaya hidup, produk pendidikan dan kelengkapan persekolahan, Havoc Trio Festival 2025 dijangka menarik lebih 500,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran.
Menggabungkan semangat “Shopping, Eat & Enjoy”, Havoc Trio Festival menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung untuk berbelanja, menjamu selera dan berhibur dalam suasana festival rakyat yang penuh warna-warni.
Selain tawaran jualan akhir tahun, pengunjung turut akan menikmati promosi eksklusif, diskaun besar-besaran, aktiviti komuniti, persembahan artis, dan kejutan menarik setiap malam.
Buat pertama kalinya juga, festival ini turut memperkenalkan program Islamik yang mengetengahkan elemen kerohanian dan perpaduan ummah.
Antara program yang dijangka akan diadakan termasuk Malam Mahabbah, sesi kerohanian bersama pendakwah jemputan serta persembahan nasyid.
Ia diadakan bagi memberi ruang kepada pengunjung menikmati suasana festival yang bukan sahaja meriah, tetapi juga bernilai rohani dan kekeluargaan.
Dalam pada itu, kemunculan semula artis sensasi, Aliff Aziz, yang dijemput khas oleh pihak Havoc untuk membuat persembahan istimewa selepas sekian lama tidak muncul di pentas Malaysia pasti menjadi sorotan ramai.
Dato’ Firdaus Nadxaman, selaku Ketua Pegawai Eksekutif (Chief Executive Officer) Havoc Event & Management Sdn. Bhd., menyifatkan penampilan Aliff sebagai satu bentuk inklusiviti dan semangat baharu dalam dunia hiburan.
“Havoc Trio Festival bukan sekadar festival, tetapi satu platform untuk menyatukan komuniti, usahawan, vendor, pelancong dan keluarga.
“Kami mahu menjadikan acara ini sebagai festival rakyat yang merancakkan ekonomi tempatan sambil menghidupkan semangat kebersamaan hujung tahun.
“Tahun ini lebih istimewa dengan kehadiran ramai selebriti, jenama besar, serta aktiviti Islamik dan kerohanian yang memberi nilai tambah kepada seluruh pengunjung,” katanya.
Sementara itu, COO Havoc Event & Management Sdn. Bhd., Faizul Mohd Yusof pula menjelaskan, dari segi teknikal dan perancangan, pasukan Havoc telah mempertingkatkan struktur keselamatan, aliran trafik pengunjung, dan kemudahan untuk usahawan serta pengunjung.
“Kami juga memperkenalkan pelbagai variasi aktiviti dan keselesaan kepada semua lapisan masyarakat serta promosi besar-besaran yang Havoc bawakan,” katanya.
Selain persembahan artis, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti interaktif seperti Food Challenge, Lucky Draw Harian, Happy Hour Sale Countdown, Back to School Giveaway, serta persembahan malam kerohanian dan permainan rakyat yang menjanjikan pengalaman luar biasa buat seisi keluarga.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Tahniah dan selamat maju jaya kepada Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan pelantikan semula beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi tempoh 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.
Menerusi kenyataan media, Azmir menjelaskan keutamaan kini tertumpu kepada pelaksanaan pindaan Akta Finas 1981 (Akta 244) sebagai misi utama penggal kedua beliau dalam menerajui agensi itu.
Langkah ini bertujuan memperkemas perundangan dan tadbir urus industri perfileman bagi melindungi kebajikan kru produksi, memodenkan pelesenan serta menyokong model pekerjaan kreatif kontemporari.
Azmir mula memegang jawatan sebagai CEO Finas pada 1 November 2023.
“Fokus kedua ialah Pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025 hingga 2035 yang menetapkan pelan pembangunan 10 tahun membabitkan Malaysia sebagai Hab Industri Kreatif ASEAN termasuk Pemerkasaan IP Monetization dan pasaran eksport.
“Tidak ketinggalan, pembangunan produser dan ‘showrunner’ tempatan, kerjasama filem ‘financing’ usaha sama penerbitan antarabangsa, penyelarasan naratif kebangsaan yang progresif dan kerjasama strategik industri pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, Azmir turut memaklumkan, Insentif Galakan Industri Filem Bernilai RM110 juta diperuntukkan bagi menggalakkan penerbit tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi di Malaysia.
“Daripada jumlah itu, RM10 juta dikhususkan bagi kandungan berteraskan semangat kenegaraan, bagi memperkukuh jati diri dan identiti nasional melalui medium kreatif.
“Fokus keempat pula adalah Dana Belia Kreatif MADANI yang bertujuan melahirkan generasi pencipta kandungan berilmu, bertanggungjawab dan berjiwa patriotik termasuk sokongan pembangunan bakat kampus dan belia komuniti di seluruh negara,” katanya.
Tambahnya lagi, landskap industri perfileman Malaysia kini berada dalam keadaan stabil dengan potensi pertumbuhan jangka panjang apabila ekosistem pawagam kembali pulih.
“Platform OTT antarabangsa seperti iQiyi, Viu, Astro dan Netflix terus melabur dalam drama bersiri tempatan dan memanfaatkan insentif FIMI.
“Pada masa sama, siri seperti Bidaah, One Cent Thief dan Nenek Si Bongkok Tiga membuktikan pasaran kandungan Malaysia relevan di peringkat global,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, Azmir menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac serta Ahli Perbadanan Finas atas kepercayaan yang diberikan.
“Ini adalah wajah baharu Finas. Melalui pindaan Akta Finas 1981 dan penambahbaikan DFN, Finas akan memberi perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra industri.
“Kami akan memperkukuh fasiliti teknologi di Hulu Klang sebagai pusat kecemerlangan produksi serta memperluas program infrastruktur kandungan di Sabah dan Sarawak bagi membangunkan Borneo Content sebagai jenama strategik Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Finas komited untuk merakyatkan dan meletakkan industri filem Malaysia sebagai industri yang dinamik, mampan, inklusif dan diiktiraf di persada global. Industri filem ini juga mencerminkan identiti pelbagai bangsa serta menyumbang kepada perpaduan dan ekonomi negara,” katanya.
Sejak memulakan tugas sebagai CEO pada 2023, antara pencapaian utama Azmir termasuk memastikan kelangsungan operasi pawagam dan rantaian perniagaan produksi melalui ‘engagement’ berstruktur bersama penggiat industri dan pengendali panggung, khususnya dalam usaha pemulihan ekosistem pasca pandemik.
Filem tempatan juga menunjukkan pertumbuhan kukuh apabila kutipan filem tempatan mencatat kira-kira RM180 juta (sehingga Oktober lalu) berbanding RM170 juta sepanjang tahun sebelumnya, sekali gus menyaksikan naskhah Malaysia mengatasi filem Hollywood di pasaran tempatan tiga tahun berturut-turut.
Kejayaan menerusi Skim Wajib Tayang serta rundingan penerbit dan operator panggung wayang terus meningkatkan kepercayaan penonton terhadap karya tempatan.
Filem produksi tempatan turut menyerlah di arena antarabangsa apabila karya seperti Abang Adik, Tiger Stripes, Raintown serta Imam menembusi pelbagai festival filem luar negara, meletakkan Malaysia sebagai sumber sinema berkualiti yang sedang berkembang.
Kemuncak Filem dan Televisyen ASEAN 2025 baru-baru ini turut menyaksikan termeterainya deklarasi komitmen kolektif generasi baharu rantau ini terhadap integriti kreatif, keterangkuman budaya dan kepelbagaian naratif sinema Asia Tenggara.
Deklarasi tersebut mengangkat Malaysia sebagai pengerak kepimpinan budaya serantau, selari dengan aspirasi negara untuk menjadi hab pertumbuhan industri kreatif ASEAN.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!