Pelakon dan pengacara Scha Alyahya mengakui pemergian ibunya, Allahyarham Junainah Hashim pada 7 Disember tahun lalu sebagai satu kehilangan besar dalam hidupnya.
Scha, 41, yang berkongsi kisah tersebut dalam podcast Wardah Heart to Heart bersama Dayah Bakar itu berkata, dia masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan ketiadaan insan tercinta itu.
“Semasa ibu saya meninggal dunia pada Disember, itu perkara yang paling saya takut. Saya rasa macam hidup ini sudah tidak ada tujuan. Ibu saya adalah suri teladan saya.
“Dia sangat kuat. Ramai yang cakap dia ada dalam diri saya ke mana saja saya pergi. Tetapi saya masih dalam proses bersedih. Memang akan ambil masa. Saya bukan cuba untuk move on tetapi kena move forward,” katanya.
Sebagai anak kedua dalam keluarga, Scha sangat rapat dengan ibunya dan sentiasa berkongsi segala perkara dan pemergiaan Allahyarhamah membuatkan dia merasa kehilangan yang sukar digambarkan.
Ibu Pembuka Laluan Ke Dunia Seni
Dalam perkongsiannya, Scha antara lain turut mendedahkan, ibunya menjadi individu yang memainkan peranan penting dalam perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.
“Saya pernah jadi pramugari sebelum ini. Bila dah dapat apa saya nak, saya berhenti. Bila ibu saya tengok saya tak buat apa-apa, dia yang hantar borang untuk masuk pertandingan Dewi Remaja 2005/2006.
Ads
“Saya masuk dan menang, alhamdulillah. Ketika itu, saya rasa diri saya macam tak layak masuk dalam industri.
“Tetapi rezeki tertulis dalam bidang ini, saya teruskan mencuba juga. Dan 19 tahun masih di sini, saya rasa itu berkat doa ibu saya,” ujarnya lagi.
Scha turut bercerita mengenai tentang rutinnya sebelum ini yang sering menghubungi ibunya setiap hari dan sentiasa meminta pandangan arwah tentang setiap perkara.
“Bila saya keluar bekerja atau melancong ke luar negara, saya akan video call dia sekurang-kurangnya dua atau tiga kali.
“Bila saya dapat skrip, ibu saya yang akan baca. Bila ibu dah tak ada sekarang, saya rasa satu kehilangan besar dalam hidup,” luahnya.
Ads
Dedah Rutin Baru
Mengakui tidak mampu menanggung kesedihan seorang diri, Scha menjelaskan, dia kini kerap bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Sejak ibu saya pergi, saya ada satu rutin baru. Saya akan duduk dan renung diri. Saya buat terapi sendiri iaitu bercakap dengan Allah. Sangat sakit untuk saya simpan sendiri,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata ini turut menitipkan nasihat penonton supaya sentiasa menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.
Ads
“Sejak ibu saya meninggal, saya selalu ingatkan dekat kawan-kawan selagi ada, jaga. Tak kisah la ada momen tak bercakap atau pernah bergaduh.
“Saya nasihatkan untuk letak tepi semua itu kerana kita tak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita. Allah boleh ambil bila-bila masa saja. Kita tak nak, apabila sudah terjadi baru nak sedar.
“Jadi, saya harap kalau ada orang yang kita sayang, kita luahkan rasa sayang itu supaya tidak menyesal di kemudian hari. Tak kisah sama ada menerusi kiriman mesej, panggilan telefon atau pulang terus ke kampung,” ujarnya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Ratu rock tanah air, Ella, menasihatkan para penggiat seni agar tidak terlalu mengikut emosi sehingga menjejaskan perjalanan kerjaya mereka lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan kritikan masyarakat.
Menurut Ella, seseorang anak seni itu bukan sahaja perlu memiliki bakat, tetapi juga harus bersedia dari segi mental dan emosi bagi menghadapi cabaran industri hiburan.
“Sebelum nak melibatkan diri di dalam industri, kita sememangnya perlu bersiap sedia. Kita tidak boleh terlalu emosi sampai tidak mahu keluar daripada rumah. Kenapa pula nak buat begitu?
“Kita sendiri yang buat keputusan untuk muncul di khalayak. Jadi, kitalah yang perlu bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan,” katanya.
Penyanyi lagu Layar Impian itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Rockqueen bersama anak-anak yatim di Saujana Hotel, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Pada acara sama,Ella turut memperkenalkan koleksi busana baharu di bawah jenama Rockqueen bersempena sambutan Syawal yang boleh didapati di stor fizikal di Aras G, SACC Mall, Shah Alam sepanjang Ramadan.
Ella turut menekankan, sikap terlalu mengikut perasaan hanya bakal menghalang seseorang anak seni itu mencapai tahap yang lebih tinggi dalam kerjayanya.
“Sampai bila kita nak emosi? Takkan kita nak duduk di takuk yang sama sahaja? Sudah tentu kita nak melangkah jauh. Jika nak melangkah jauh, inilah hal-hal yang perlu kita lalui.
“Kalau kita sentiasa emosi, kita tidak akan ke mana-mana. Jika kita sudah buat keputusan untuk tampil berani, emosi tidak sepatutnya ada pada tahap seperti ini,” katanya.
Tambahnya lagi, dalam era media sosial, penggiat seni perlu lebih cekal kerana masyarakat kini lebih bebas melontarkan pandangan, termasuk kritikan.
“Ada kalanya perkara seperti ini berlaku tanpa dirancang. Namun, ia berbalik juga kepada diri sendiri.
“Jika kita lakukan sesuatu yang berkemungkinan mengundang kecaman tapi kita tak mahu terima, ia agak susah.
“Kata orang, berani buat, berani tanggung. Namun, kita tetap perlu menjadi lebih kuat. Ini adalah realiti media sosial yang tiada sempadan,” katanya lagi.
Ketika ditanya bagaimana dirinya menghadapi kritikan sepanjang bergelar anak seni, Ella mendedahkan dia bukan individu yang cepat melatah.
“Kalau sesuatu perkara itu tidak betul, saya akan biarkan sahaja. Jika teguran itu adalah fakta, kita kena berbincang dan perbaiki. Saya sejenis yang tidak cepat melatah.
“Apapun yang berlaku, saya bertenang dan renungkan segala hikmahnya,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penerbit terkenal, Datuk A Aida, tidak menafikan sedang menjalin hubungan rapat dengan seorang lelaki berstatus vip (very important person) berstatus duda yang dikenalinya sejak pertengahan tahun lalu.
A Aida, atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 55, bagaimanapun, masih belum bersedia untuk mendedahkan identiti lelaki tersebut kepada umum.
“Kami mula berkenalan sejak Julai tahun lalu dan menjadi semakin akrab sekitar Disember. Setiap kali kami keluar ‘dating’, dia suka mencatat. Jadi, dia tahu sudah berapa lama kami tidak berjumpa.
“Buat masa ini, kami masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing. Dia seorang duda dan mempunyai dua orang anak.
“Memang prinsip saya untuk tidak mengambil suami orang kerana saya tidak mahu melukai hati wanita lain. Apabila mengetahui dia seorang duda, saya rasa tiada masalah,” katanya.
Pemilik rumah produksi A Aida Production itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui dalam program agihan bubur lambuk anjuran Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya, pada Isnin.
Ditanya mengenai kemungkinan hubungan mereka bakal ke fasa seterusnya, A Aida menyerahkan perkara itu kepada ketentuan takdir.
“Soal jodoh, semuanya di tangan Allah. Kita hanya mampu merancang. Buat masa ini, kami masih dalam proses mengenali satu sama lain dan hubungan kami memang rapat.
“Dia berusia 56 tahun, manakala saya 55, hanya beza setahun. Sejak tujuh tahun lalu, saya selalu berdoa agar jodoh terakhir saya sebaya dengan saya.
“Biarlah kami meniti usia tua bersama. Memang ada yang sebaya cuba mendekati saya sebelum ini, tetapi hati tidak pernah terbuka. Dengan dia, lain rasanya, seperti ada ‘spark’. Anak-anak saya juga menyukainya,” katanya lagi.
Mengulas mengenai keistimewaan lelaki tersebut di matanya, A Aida mengakui tertarik dengan raut wajahnya yang manis.
“Kita mesti mahu lihat rupa dahulu, bukan? Wajahnya ‘sweet’, cuma dia sedikit berisi. Saya minta dia ke gimnasium untuk menurunkan berat badan.
“Saya beri dia masa untuk kurus dahulu. Selepas itu, barulah boleh berbincang soal kahwin,” katanya berseloroh.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Seiring dengan perkembangan pesat industri perfileman, genre seram kekal sebagai pilihan utama penonton.
Melihat kepada permintaan tinggi ini, rumah produksi Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) tampil dengan filem sulung mereka berjudul Polong.
Pengarahnya, Zulkarnain Azhar, tertarik untuk mengarahkan filem ini kerana jalan ceritanya yang unik dan penuh dengan makna tersirat.
“Antara tarikan dalam naskhah ini, Polong adalah sebuah filem yang bertemakan dosa silam, legasi serta akibat yang tidak dapat dielakkan kesan daripada perbuatan masa lampau, terutama sekali dengan mengamalkan ilmu hitam.
“Ia bukan sekadar sarat dengan elemen seram, tetapi menjadi simbolik kepada kegelapan yang kita bawa dalam diri kita sendiri, sama ada melalui dosa masa lalu atau trauma yang tidak dapat diselesaikan,” jelasnya.
Mengangkat kisah Maria Hadi iaitu seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam dan dihantui dosa lampaunya, Polong membawa penonton menyelami perjalanan seorang manusia yang mencari keampunan di penghujung usianya.
Namun, segala yang ditinggalkannya menjadi beban kepada pewarisnya, termasuklah polong belaan yang menuntut bela atas kematiannya.
Filem ini bakal memulakan penggambaran pada Mei depan dengan menampilkan pelakon seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong, dan Nadiya Nisaa.
Dalam pada itu, penerbit eksekutif GSPSB, Onn Norshal Hamzah, menjelaskan pihaknya memilih genre seram sebagai projek pertama kerana filem sebegini sentiasa mendapat sambutan hangat di pasaran.
“Pemilihan Polong telah melalui satu proses diskusi yang sistematik dengan melihat kepada kekuatan komersil yang tinggi, selain dijangka mampu memberikan impak saingan dalam pasaran filem tempatan dan luar di pawagam.
“Dengan kualiti penceritaan, penerbitan dan kuasa pasaran yang kuat bagi genre seram, pihak GSPSB yakin dengan kemampuan kami untuk menawarkan kelainan dari segi karya dengan kekuatan yang merangkumi semua aspek penerbitan,” katanya.
Dalam memastikan kejayaan Polong, GSPSB memilih Zulkarnain Azhar sebagai pengarah berdasarkan rekod cemerlangnya menerusi filem-filem seperti Takluk, Air Force, dan J Revolusi.
“Dengan pemilihan Zulkarnain selaku teraju utama filem ini, kami yakin filem ini pasti menjadi satu lagi naskhah yang ditunggu oleh pencinta filem tempatan yang sentiasa dahagakan karya bertenaga dan komersil.
“Penglibatan 10 Star Cinemas Sdn. Bhd. sebagai pengedar dan agen pemasaran filem ini akan menjadi satu langkah strategik untuk mempersiapkan filem ini sebelum memasuki pawagam.
“Kami percaya 10 Star Cinemas Sdn. Bhd., yang memiliki rangkaian pawagam komuniti serta pasukan profesional pengedaran berpengalaman, mampu mengangkat filem ini ke destinasi pasaran yang disasarkan,” tambahnya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga suami kepada aktres terkenal, Datin Seri Zizie Ezette dilaporkan meninggal dunia pada usia 66...