Satu lagi bintang dalam industri seni tanah air telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Menerusi satu sumber, pelakon veteran, Nozie Nani yang popular pada era 1970-an telah menghembuskan nafasnya yang terakhir malam semalam kira-kira jam 8.30 malam di rumahnya yang terletak di Batu Pahat, Johor.

Arwah telah pergi buat selama-lamanya selepas mengalami komplikasi pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan yang paling terbaru adalah arwah disahkan menghidap kanser rahim tahap pertama pada bulan lalu.

Menurut anak bongsunya Nabila Najat Mohd Nazamuddin, pemergian arwah ini tetap mengejutkan semua kerana secara tiba-tiba keadaan arwah begitu tenat. Arwah juga telah menghembuskan nafas yang terakhir di sisi anaknya, Nizad Norman dan juga menantu.

IKLAN

“Kami amat terkejut dengan pemergiannya. Sebelum itu, arwah meminta abang membuatkannya air susu kambing.

 

“Arwah masih boleh bercakap. Abang mahu memanggil ambulans atau menghantarnya ke hospital apabila melihatkan keadaannya tidak sihat tetapi arwah menolak,” ujar Nabila.

Beritahu Nabila lagi, dengan secara tiba-tiba arwah telah mengalami sesak nafas dan terus menarik nafasnya yang terakhir.

Kata Nabila, dia tidak sempat melihat ibu buat kali terakhir kerana ketika itu dia sedang berada di tingkat atas rumahnya.

IKLAN

“Apabila ambulans tiba, arwah disahkan sudah tiada,” ujarnya lagi kepada BH Online.

Menurut sumber lagi, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Semai, Batu Pahat jam 10 pagi tadi.

Berita pemergian pelakon veteran ini juga turut menyentuh hati seorang pelakon wanita, Fauziah Ahmad Daud yang berkongsi rasa sedih di akaun Instagram miliknya.

IKLAN

“Inalillahiwaiinaillaihirojiun..

 

“Telah Pulang Sebutir Bintang Tanggal Ihb Okt 2017 Jam 8.37 Malam Tadi Kepada Ya Khaliq..Allahyarhamah Nozie Nani Pernah Berlakon Bersama Saya Dan Seniwati Uji Rashid Didlm Filem ‘Permintaan Terakhir’ Moga Rohnya Ditempatkan Didlm Golongan Org2 Yg Beriman, Yg Disayangi. Al Fatihah..,” tulis Fauziah.

Pelakon Veteran, Nozie Nani Meninggal Dunia

Kami di MH Online mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga dan juga kenalan Allahyarhamah Nozie Nani. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan didoakan juga agar rohnya tenang di samping penciptanya.

Sumber: BH Online & Instagram Fauziah Ahmad Daud

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI