
Dunia hiburan Bollywood kembali diselubungi duka apabila pelakon veteran, Satish Shah disahkan meninggal dunia pada Sabtu di Mumbai pada usia 74 tahun.
Media tempatan India melaporkan, mendiang dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang selepas menerima rawatan beberapa minggu. Beliau sebelum ini dikatakan mempunyai sejarah masalah kesihatan dan baru menjalani pemindahan buah pinggang.
Satish Shah dilahirkan pada 25 Jun 1951 di Mumbai dan merupakan antara nama besar yang banyak menyumbang kepada industri perfileman dan televisyen India. Kariernya menjangkau lebih empat dekad dengan penglibatan dalam lebih 200 buah filem serta beberapa siri televisyen popular.
Beliau mula dikenali menerusi filem Jaane Bhi Do Yaaro (1983) yang kini dianggap sebagai karya klasik komedi India. Namanya terus melonjak apabila membintangi siri televisyen Sarabhai vs Sarabhai, di mana lakonannya sebagai Indravadan Sarabhai mendapat pujian meluas dan kekal diingati sehingga kini.

Selain itu, Satish Shah turut memegang peranan penting dalam beberapa filem box-office seperti Main Hoon Na, Hum Aapke Hain Koun, Kal Ho Naa Ho, Om Shanti Om dan Kabhi Haan Kabhi Naa. Keupayaannya membawakan watak dengan gaya bersahaja menjadikan beliau antara pelakon komedi paling dihormati di India.
Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali sebagai figura profesional yang rendah diri serta disayangi ramai rakan industri. Pemergiannya disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia seni Bollywood yang kini kehilangan seorang lagi bintang legenda.
Jenazah mendiang difahamkan telah dibawa ke hospital bagi urusan akhir sebelum disemadikan dalam satu upacara tertutup bersama keluarga.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




