
Pelakon terkenal Hollywood, Malcolm-Jamal Warner, yang sinonim dengan watak Theo Huxtable menerusi siri popular The Cosby Show, disahkan meninggal dunia akibat lemas ketika bercuti bersama keluarganya di Playa Cocles, Limón, Costa Rica pada Sabtu lalu.
Warner, 54, yang juga merupakan pelakon, pemuzik dan penyair, dilaporkan lemas selepas terperangkap dalam arus kuat ketika berenang.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan punca kematian sebagai asphyxia (lemas) dan memaklumkan insiden itu berlaku dalam keadaan cuaca yang baik namun berarus kuat.
Kematian mendadak pelakon itu mengejutkan ramai pihak termasuk rakan-rakan artis dan peminat industri hiburan Amerika Syarikat.
Beberapa selebriti ternama termasuk Tracee Ellis Ross, Jennifer Hudson dan legenda bola keranjang, Magic Johnson meluahkan rasa sedih dan takziah kepada keluarga mendiang melalui media sosial.
Warner mula mencipta nama menerusi siri The Cosby Show bermula 1984 sehingga 1992 dan pernah menerima pencalonan Emmy pada usia muda dek kerana bakat besar yang dimiliki

Selain itu beliau turut membintangi beberapa lagi siri terkenal lain seperti Malcolm & Eddie, Suits, 9-1-1 dan drama perubatan terkenal, The Resident yang mengukuhkan namanya sebagai pelakon handalan.
Watak Dr. AJ Austin yang dibawakan Warner dalam The Resident dianggap antara nadi penting kepada kejayaan siri itu. Beliau menerima pujian ramai kerana membawakan karakter berkulit hitam dalam dunia perubatan yang jarang diwakili secara kompleks di kaca TV.
Selain aktif dalam lakonan, Warner juga dikenali sebagai seorang pemuzik jazz berbakat dan pemenang Anugerah Grammy 2015 untuk kategori Best Traditional R&B Performance. Beliau juga merupakan hos podcast “Not All Hood” yang membincangkan isu-isu sosial dan budaya.
Paling menyentuh hati, pelakon veteran Bill Cosby turut menyifatkan kehilangan Warner seperti kehilangan anak kandungnya sendiri. “Rasa ini seperti membunuh anak saya sekali lagi,” ujar Cosby, merujuk kepada tragedi pembunuhan anak lelakinya, Ennis, pada tahun 1997.
Jenazah Warner dilaporkan akan dibawa pulang ke Amerika Syarikat dalam masa terdekat bagi urusan pengebumian.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




