Ads

Pelakon ‘It Chapter Two’, James Ransone Meninggal Dunia Pada Usia 46 Tahun

Dunia hiburan Hollywood dikejutkan dengan pemergian pelakon, James Ransone, yang disahkan meninggal dunia pada usia 46 tahun. Pemergian aktor berkenaan sekali gus menamatkan perjalanan seninya sebagai seorang pelakon yang dikenali dengan lakonan intens, berani dan penuh emosi dalam pelbagai naskhah televisyen serta filem layar perak.

Ransone mula mencuri perhatian peminat drama bersiri menerusi watak Ziggy Sobotka dalam siri ikonik HBO, The Wire, yang sehingga hari ini diangkat sebagai antara karya televisyen terbaik sepanjang zaman. Lakonannya yang membawa sisi rapuh serta konflik dalaman watak tersebut menjadikan beliau pelakon yang disegani dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Selain The Wire, Ransone turut mengukuhkan namanya menerusi penampilan dalam beberapa filem popular termasuk It: Chapter Two, The Black Phone dan Sinister. Beliau juga terlibat dalam beberapa siri televisyen lain seperti Generation Kill, Bosch serta Poker Face, membuktikan kebolehannya menggalas pelbagai watak merentas genre.

Ads
Pelakon ‘It Chapter Two’, James Ransone Meninggal Dunia Pada Usia 46 Tahun
Lakonan James dalam siri popular, The Wire

BACA JUGA: Sushant Singh Rajput Mati Dipercayai Bunuh Diri, Shah Rukh Khan Antara Bintang Bollywood Yang Terkesan

Menurut laporan Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles, kematian Ransone disebabkan gantung diri, manakala siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau penglibatan pihak ketiga dalam kejadian berkenaan. Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian akibat bunuh diri.

Ads

Sepanjang hayatnya, Ransone pernah secara terbuka berkongsi mengenai perjuangan peribadi berkaitan kesihatan mental serta pengalaman trauma masa lalu, termasuk usaha beliau untuk bangkit dan menjalani kehidupan yang lebih stabil selepas melalui episod sukar dalam hidup.

Pemergian Ransone mencetuskan gelombang ucapan takziah daripada rakan artis, penerbit serta peminat di seluruh dunia yang menghargai sumbangannya dalam dunia seni. Ramai menyifatkan beliau sebagai aktor berjiwa besar yang tidak gentar menyelami sisi gelap dan kompleks manusia demi kejujuran seni.

Ads

Mendiang meninggalkan seorang isteri, Jamie McPhee, serta dua orang anak hasil perkahwinan mereka. Dalam satu perkongsian di media sosial, isterinya menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas kehilangan insan tersayang, sambil menyifatkan arwah sebagai suami dan bapa yang penyayang.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!

KLIK DI SEENI
Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
Ads

Gosip Artis Lain

“Pengorbanan Berbaloi… Berlatih Sampai Sakit Badan,” – Iskandar Ismail Usaha 200%...

Penyanyi asal Singapura, Iskandar Ismail menyifatkan segala pengorbanannya untuk menguasai lagu Telugu popular, Golimaar nyata berbaloi apabila namanya diumumkan juara minggu ke lapan Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), malam tadi.
error: Hello. Cannot.