Pelakon Drama Nur, Kamsani Ismail Meninggal Dunia, Jenazah Akan Dikebumi Selepas Zohor

Share

Pelakon drama siri popular, Nur, Kamsani Ismail dilaporkan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 11.30 malam tadi di Hospital Melaka akibat komplikasi penyakit kencing manis dan jangkitan kuman.

Memetik laporan Buletin TV3, anaknya, Muhd. Amin Ismail, 25 memaklumkan bapanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan pada jam 2.30 petang.

“Sebelum dimasukkan ke hospital, arwah telah pergi mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Klebang sebelum pihak klinik merujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut petang semalam.

“Bagaimanapun selepas menerima rawatan, pihak hospital kemudian mengesahkan bahawa ayah telah meninggal dunia,” katanya seperti yang dipetik.

Muhd Amin yang juga anak kelima daripada enam beradik itu berkata, bapanya telah menghidap penyakit kencing manis sejak lebih 10 tahun lalu.

Namun, keadaan kesihatan bapanya semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Kamsani yang berasal dari Klebang meninggalkan seorang balu, Norhayati Yusoff, 53, dan enam anak yang berumur antara 18 hingga 36 tahun.

Jenazah allahyarham difahamkan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Permatang Klebang selepas Zohor.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah membintangi beberapa drama termasuk Nur, Biarkan Ia Pergi dan Shhh I Love You.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Buletin TV3 

IKLAN