Pelakon Ashraf Sinclair Meninggal Dunia

Share

Pelakon asal Malaysia yang juga suami kepada penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL), Ashraf Sinclair dilapor meninggal dunia, pagi Selasa.

Memetik Kompas.com, bintang berkenaan meninggal dunia pada usia 40 tahun akibat serangan jantung.

Berita mengejutkan itu difahamkan telah disampaikan pengurus BCL, Doddy.

“Serangan jantung,” katanya seperti yang dipetik. Bagaimanapun setakat ini, tiada perincian lanjut mengenai butiran lainnya.

Sementara itu memetik mStar, berita berkenaan turut disahkan oleh ibu arwah, Khadijah Abdul Rahman menerusi aplikasi WhatsApp.

“Anak saya Ashraf telah pulang ke Rahmatullah. Dalam perjalanan ke Jakarta sekarang,” katanya seperti yang dipetik.

Meninjau ke ruangan komen di Instagram Allahyarham, para peminat termasuk rakan selebriti dilihat memberi dedikasi terakhir buat arwah selain merakamkan ucapan takziah buat BCL sekeluarga.

Allahyarham Ashraf atau nama sebenarnya, Ashraf Daniel Mohammed Sinclair dilahirkan pada 18 September 1979 di London.

Arwah dan BCL mendirikan rumah tangga sekitar tahun 2008 dan pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Sinclair.

Al-fatihah dan salam takziah

Sumber: Kompas.com, mstar

IKLAN