Penyanyi dan komposer, Andi Bernadee, kembali memikat peminat dengan single terbaharunya berjudul Siapakah Namamu, sebuah lagu yang mengangkat kisah indah pertemuan cinta yang tidak dijangka.
Lagu ini merupakan hasil kolaborasi mantap antara Andi, Kuizz, dan The T, dengan Kuizz bertindak sebagai penyusun muzik dan penerbit utama.
Menurut Andi, karya ini membawa pendengar menyelami detik pertama jatuh cinta iaitu saat hati terpaut hanya pada satu pandangan dan timbul keinginan untuk mengenali insan yang mempesona.
“Lagu ini menceritakan tentang seseorang yang menunggu kehadiran cinta.
‘Akhirnya, cinta itu hadir di depan mata, mempesona dengan wajah ayu, cantik, dan jelita, lalu timbul keinginan untuk berkenalan,” ujar Andi.
Idea asal lagu ini tercetus apabila Andi menerima melodi daripada The T. Melodi tersebut serta-merta menangkap perhatiannya dan memberikan inspirasi untuk mencipta sesuatu yang berbeza dalam kerjaya seninya.
Ads
“Saya tertarik dengan melodinya dan merasakan ada sesuatu yang istimewa. Sebelum ini, saya belum pernah mempunyai rentak seperti ini dalam discography saya,” jelasnya lagi.
Sentuhan Peribadi & Kolaborasi Mantap
Bukan sekadar menyanyi, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, turut terlibat dalam penulisan lirik bagi menambahkan elemen peribadi yang mencerminkan dirinya dalam lagu ini.
“Saya mahu menyuntik elemen yang mencerminkan diri saya agar lagu ini benar-benar dekat di hati,” tambahnya.
Ads
Walaupun proses rakaman berjalan lancar dan tidak mengambil masa panjang, Andi mengakui lagu ini menuntut ketelitian teknikal dari sudut vokal.
“Melodinya kedengaran mudah, tetapi sebenarnya ia memerlukan kawalan vokal pada bahagian melodi yang naik dan turun. Keunikan melodi inilah yang menjadi kekuatan lagu ini,” katanya.
Malah Andi turut memuji komitmen rakan kolaborasi yang menjadi tulang belakang kejayaan lagu ini.
“Mereka adalah orang-orang kuat di sebalik lagu ini. Saya berterima kasih kerana mereka menjalankan tugas dengan baik.
Ads
“Tidak ada masalah untuk saya bekerjasama lagi dengan mereka pada masa akan datang,” katanya lagi.
Andi turut menjelaskan, lagu ini tidak perlu ditafsir terlalu dalam, sebaliknya cukup untuk dinikmati secara jujur oleh mereka yang sedang dalam fasa mengenali cinta baru.
“Pasang saja lagu ini ketika anda sedang dilamun cinta dengan seseorang yang baru anda kenali. Anda akan faham perasaannya,” ujarnya.
Siapakah Namamu boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama bermula 15 Ogos 2025, dan muzik video rasmi akan ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Andi Bernadee.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi tersohor antarabangsa, Taylor Swift akhirnya sah bergelar tunangan kepada pemain bola sepak Amerika, Travis Kelce selepas dua tahun menjalin hubungan cinta yang sentiasa menjadi perhatian dunia hiburan.
Pertunangan pasangan ini diumumkan secara rasmi pada 26 Ogos lalu melalui satu hantaran Instagram dengan kapsyen mencuri tumpuan berbunyi, “Guru bahasa Inggeris and dan Guru Gim anda bakal berkahwin.”
Kata-kata ringkas itu sekali gus mengesahkan spekulasi peminat bahawa mereka bakal melangkah ke fasa seterusnya dalam perhubungan.
Menurut laporan People Magazine yang memetik temubual Ed Kelce bersama News 5 Cleveland, lamaran istimewa itu sebenarnya telah berlangsung kira-kira dua minggu sebelum pengumuman dibuat. Travis melamar Swift secara sederhana tetapi penuh romantis di laman rumahnya di Leawood, Kansas.
Ed Kelce turut berkongsi bahawa anaknya pada awalnya mahu menangguhkan lamaran untuk mencari idea lebih besar dan mewah, namun Taylor dikatakan sedikit resah menunggu. Justeru, Travis memilih momen lebih intim dan peribadi untuk meluahkan isi hati tanpa perlu acara gilang-gemilang.
Cincin pertunangan yang disarungkan ke jari Swift turut menarik perhatian ramai apabila ia direka khas oleh pereka terkenal Kindred Lubeck dari Artifex Fine Jewelry. Batu permata jenis Old Mine brilliant-cut diamond itu melambangkan sentuhan klasik namun tetap eksklusif.
Pasangan ini mula menjalinkan hubungan sejak 2023, dan sejak itu kerap menjadi tumpuan media. Hubungan mereka dianggap sebagai antara “supercouple” era moden kerana gabungan dua figura dari dunia berbeza, seorang ikon muzik global dan seorang bintang sukan NFL.
Dengan pengumuman rasmi ini, tumpuan kini terarah kepada majlis perkahwinan pasangan popular tersebut yang dijangka menjadi antara acara paling berprestij dalam dunia hiburan dan sukan antarabangsa.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Bintang tersohor Bollywood, Shah Rukh Khan dan Rani Mukherji mencatat sejarah peribadi apabila masing-masing kali pertama meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Filem Kebangsaan kali ke-71 yang berlangsung di ibu negara India pada 1 Ogos lalu.
Kemenangan ini dianggap istimewa kerana ia merupakan kali pertama Shah Rukh Khan, 59, menerima pengiktirafan tertinggi tersebut sepanjang lebih 33 tahun bergelar anak seni. Beliau memenangi kategori berprestij itu menerusi lakonan mantap dalam filem aksi pecah panggung, Jawan.
Rani, 47, pula meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi persembahan berkesan dalam filem Mrs Chatterjee vs Norway. Ia juga merupakan anugerah kebangsaan pertama buat aktres itu sejak mula menceburi industri seni lebih tiga dekad lalu.
Majlis anugerah yang mengiktiraf pencapaian terbaik perfileman India itu turut menyaksikan Shah Rukh Khan berkongsi kemenangan dengan pelakon Vikrant Massey menerusi filem 12th Fail.
Sementara itu, kemenangan Rani disifatkan pengiktirafan kepada dedikasi beliau membawa watak penuh emosi dengan kredibiliti tinggi dalam filem yang diinspirasikan berdasar kisah benar itu.
Kejayaan dua pelakon veteran ini turut diraikan rakan industri termasuk pengarah tersohor, Karan Johar yang menyifatkan ia sebagai detik ‘full circle’ kerana pernah mengarahkan kedua-duanya dalam filem klasik Kuch Kuch Hota Hai pada 1998.
Gambar mesra Shah Rukh dan Rani bersama Gauri Khan yang dikongsi di media sosial mencuri perhatian ramai, dengan rata-rata peminat mengucapkan tahniah serta menyifatkan ia sebagai detik manis dunia hiburan Bollywood.
Penghargaan ini sekali gus membuktikan kedudukan Shah Rukh sebagai ‘Raja Bollywood’ kekal utuh, manakala Rani terus mengekalkan reputasi sebagai antara pelakon wanita paling berpengaruh dalam industri perfileman Hindi.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon terkenal Korea Selatan, Hwang Jung Eum kini berdepan hukuman penjara selepas pihak pendakwa menuntut agar beliau dijatuhi hukuman tiga tahun penjara berhubung kes penyelewengan dana bernilai 4.34 bilion won (RM15.1 juta).
Menurut laporan media tempatan, Hwang, 40, didakwa menyalahgunakan dana syarikat miliknya, Hunminjeongeum Entertainment, antara awal hingga akhir tahun 2022. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 700 juta won direkodkan sebagai pendahuluan sementara, manakala hampir 4.2 bilion won digunakan untuk pelaburan dalam mata wang kripto.
Dalam prosiding mahkamah, Hwang mengakui kesalahan berkenaan dan menjelaskan tindakannya berpunca daripada niat untuk mengembangkan syarikat, namun beliau mengakui keputusan itu dibuat secara terburu-buru serta tanpa pengetahuan mencukupi mengenai pasaran kripto.
Pelakon drama popular She Was Pretty itu sebelum ini turut tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menegaskan bahawa dana yang digunakan merupakan hasil titik peluhnya sendiri. Bagaimanapun, tindakan berkenaan tetap diklasifikasikan sebagai penyelewengan dana syarikat.
Hwang juga telah melangsaikan bayaran penuh hasil penyelewengan berkenaan dengan menjual aset peribadi. Bayaran balik dibuat secara berperingkat pada 30 Mei dan 5 Jun lalu, dan bukti pembayaran telah diserahkan kepada mahkamah.
Skandal itu memberi kesan besar kepada kerjaya seni beliau apabila beberapa program televisyen yang menampilkan Hwang telah dipotong atau disunting semula. Malah, beberapa jenama komersial yang pernah bekerjasama dengannya turut dilaporkan menarik balik iklan melibatkan aktres berkenaan.
Dalam pada itu, kes berkenaan dikendalikan di bawah Akta Hukuman Berat Jenayah Ekonomi Tertentu, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap kesalahan membabitkan jumlah penyelewengan berskala besar.
Mahkamah dijangka menjatuhkan hukuman rasmi terhadap Hwang pada September depan. Kes ini mendapat perhatian meluas masyarakat Korea Selatan, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai pengurusan kewangan selebriti dan risiko pelaburan dalam mata wang kripto.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga suami kepada aktres terkenal, Datin Seri Zizie Ezette dilaporkan meninggal dunia pada usia 66...