
Pelakon Ummi Nazeera mengakui tidak menyangka bakal bergandingan bersama aktor popular Indonesia, Reza Rahadian, menerusi filem terbaharu arahan Erma Fatima berjudul Langit 2 Warna.
Menurut Ummi, dia sendiri tidak mengetahui mengenai penglibatan Reza dalam filem tersebut sehinggalah sesi pembacaan skrip (script reading) yang berlangsung pada Rabu.
“Pada mulanya, saya tidak tahu apa-apa tentang hero filem ini. Saya hanya tahu Umie Aida bakal menjadi ibu dan Eman Manan pula akan jadi bapa saya.
“Namun, saya sudah dapat agak siapa heronya. Bila saya bertanya kepada Kak Erma, katanya saya pasti akan suka bekerja dengan hero ini. Saya agak Reza Rahadian atau Fedi Nuril.
“Bila dapat tahu heronya adalah Reza, saya sangat gembira. Saya tahu dia seorang pelakon dan pengarah yang hebat.
“Sebagai orang yang lebih muda, saya boleh belajar banyak perkara bukan sahaja dengan Reza tetapi para pelakon lain juga,” katanya kepada MH.
Ummi berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media dan sesi pengenalan barisan pelakon filem Langit 2 Warna, baru-baru ini.
Sebagai persediaan untuk menghidupkan watak, Ummi memaklumkan dia bakal menjalani kelas lakonan bersama pelakon senior, Fatimah Abu Bakar.
“Filem ini sangat berat. Saya bakal jalani kelas lakonan tidak lama lagi. Saya tak boleh nak berkongsi lebih lanjut. Namun, filem ini berkisarkan tentang cinta yang terhalang.
“Filem ini tidak akan melibatkan sebarang sentuhan. Kami akan banyak bermain dengan rasa yang jujur.
“Jika diikutkan skrip yang saya baca, bukan air mata saya sahaja yang akan mengalir. Air mata penonton juga akan mengalir sama,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, pelakon filem Bisik Pada Langit itu mengakui berasa agak gementar apabila diberi peluang bergandingan dengan barisan pelakon berkaliber dalam naskhah berkenaan.
“Sebelum ini, saya jarang nak berasa tertekan bila bekerja. Pendekatan saya lebih santai. Bila masuk ke set, barulah semangat untuk buat yang terbaik itu datang.
“Saya tak suka mengambil sesuatu perkara itu terlalu berat. Namun, pada sesi sidang media ini, saya dapat merasakan filem ini amat berat.
“Saya akan bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat. Nak menyamai energi masing-masing merupakan satu cabaran. Namun, saya tak sabar nak bekerja dengan mereka.
Meskipun terpaksa berjauhan dengan keluarga sepanjang penggambaran, Ummi menyifatkan tawaran tersebut sebagai peluang yang tidak wajar dilepaskan, lebih-lebih lagi selepas mendapat sokongan penuh daripada suami dan ahli keluarganya.
“Suami saya okay sahaja bila saya terima tawaran filem ini. Jika lokasi penggambaran jauh, mungkin dia boleh datang bawa anak-anak nanti.
“Abang saya juga banyak memberikan impak bila saya nak buat keputusan. Sebelum terima tawaran ini, saya ada mendapat satu tawaran lain. Cuma saya belum tanda tangan kontrak.
“Namun, abang saya maklumkan yang dia mahu melihat saya kembali ke layar lebar. Walau karya ini agak mencabar dari segi emosi, fizikal dan mental, saya kena cabar diri sendiri.
“Katanya, di usia sekarang, saya kena terlibat di dalam projek seperti. Projek yang boleh saya kenang dan anak-anak saya boleh tonton nanti,” akhirinya.
Terdahulu, filem Langit 2 Warna dijadual memulakan penggambaran pada Oktober ini di beberapa lokasi termasuk Mekah, Madinah, Kaherah, Kuala Lumpur, Terengganu dan Jogjakarta.
Selain Ummi dan Reza, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon seperti Eman Manan, Datuk Tamimi Siregar, Christine Hakim, Umie Aida dan ramai lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.