Bintang terkenal Hollywood, Olivia Newton-John meninggal dunia pada usia 73 tahun selepas lebih 30 tahun bertarung dengan kanser payudara. Selain terkenal sebagai penyanyi, mendiang turut mencipta aura bintang menerusi watak Sandy dalam filem Grease.
Menurut kenyataan suaminya, John Easterling, yang disiarkan di akaun media sosial rasmi bintang itu. Mendiang Olivia meninggal dunia di rumah ladangnya yang terletak di California Selatan pagi ini dan dikelilingi oleh keluarga dan rakan baik.
Penghibur itu memiliki kerjaya yang menjangkau lebih lima dekad sejak usianya diawal 20an lagi. Selain mendedikasikan masanya dalam dunia seni. Dia turut meluangkan banyak masa berbakti untuk badan amal selepas pertama kali didiagnosis dengan kanser payudara pada 1992.
Sepanjang 30 tahun bergelut penyakit tersebut, penyanyi itu mendedahkan pada September 2018 bahawa dia merawat kanser di pangkal tulang belakangnya. Ia adalah diagnosis kanser ketiganya, selepas serangan kanser payudara kali kedua pada 2017.
Ads
Bintang kelahiran Britain dan dibesarkan di Australia itu mendedikasikan beberapa album dan konsert untuk mengumpul dana bagi penyelidikan dan pengesanan awal penyakit itu, termasuk pembinaan pusat kesihatan yang dinamakan sempena namanya di rumah angkatnya Melbourne.
Mendiang meninggalkan seorang cahaya mata, Chloe Lattanzi yang juga seorang penyanyi dan pelakon.
Ads
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Rocketfuel Entertainment sekali lagi menerajui industri muzik tempatan dengan memperkenalkan sebuah kumpulan pop wanita yang terdiri daripada empat adik-beradik yang dikenali sebagai The Sara Sisters.
Mungkin ramai yang telah mengenali mereka sebelum ini sebagai bintang TikTok popular dan sering trendingmelalui konten-konten menarik yang dihasilkan.
Berasal dari Kuala Lumpur, The Sara Sisters terdiri daripada Sara Jasmin, 27, Sara Alia, 22, Sara Aqila, 21, dan Sara Qaleesya, 20.
“Alhamdulillah, terima kasih yang tidak terhingga buat pihak Rocketfuel kerana sudi menyunting kami 4 beradik untuk menjadi artis di bawah naungan mereka.
“Semuanya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada tahun 2020 di mana kami sering menghasilkan video cabaran tarian di TikTok dengan mendapat banyak tanda suka sehingga mula dikenali ramai,” kata Sara Jasmin.
Kumpulan adik-beradik ini adalah yang pertama seumpanya di Malaysia kerana belum pernah ada sebuah kumpulan nyanyian dengan 4 orang bersaudara sekaligus.
“Ramai yang menyangka kami adalah quadruplet atau kembar 4 kerana memiliki raut wajah yang seakan-akan sama, namun hakikatnya setiap dari kami dilahirkan pada tahun yang berbeza.
“Mungkin kerana keistimewaan itulah kami menjadi perhatian sehingga dipelawa menjadi sebahagian dari keluarga besar Rocketfuel,” jelas Sara Alia pula.
Walaupun mereka mempunyai rupa yang seiras, masing-masing berperwatakan yang berbeza, Sara Jasmin lebih prihatin, manakala Sara Alia gemar berjenaka, Sara Aqila pula seorang yang happy-go-lucky, dan Sara Qaleesya mempunyai keyakinan yang tinggi.
“Kami sangat teruja dan tidak sabar untuk memperdengarkan single sulung yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Setakat ini, apa yang boleh saya kongsikan adalah semuanya bakal menjadi kejutan kerana kami mahukan sesuatu yang lain dari lain. Lagu pertama itu nanti bakal menjadi bayangan jenis muzik yang akan kami bawakan kelak,” kongsi Sara Aqila.
Selain bidang tarian dan nyanyian, The Sara Sisters sering menjadi duta jenama-jenama tempatan dalam mempromosikan produk mereka.
“Kalau boleh, kami mahu betul-betul fokus pada bidang nyanyian terlebih dahulu sebelum mencuba bidang lain seperti lakonan, pengacaraan dan lain-lainnya.
“Sebagai kumpulan 4 beradik yang pertama di Malaysia, kami akan buktikan pada semua yang kami juga mampu memberi saingan sihat pada girl group yang sedia ada,” terang Sara Qaleesya.
Menurut Feros Sayna selaku Ketua Rocketfuel Entertainment, The Sara Sisters mempunyai daya tarikan yang tersendiri.
“Selain bersaudara, mereka mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan juga tarian, dan sekiranya digilap, mereka mampu pergi jauh.
“Semoga ini menjadi permulaan yang baik bagi mereka dalam mewarnai industri muzik tempatan dan menjadi kumpulan M-pop yang terkenal pada satu hari nanti,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Ziana Zain sempat berseloroh dirinya tidak boleh tidur malam kerana memikirkan perjalanan konsertnya, Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.
“Saya tak boleh tidur lena dalam seminggu ini memikirkan perjalanan konsert,” katanya sambil menerima sorakan kira-kira 2,800 penonton.
Konsert yang berlangsung pada jam 9 malam itu bermula dengan persembahan duet pasangan adik-beradik popular itu menerusi lagu Sangkar Cinta dan Bila Resah yang dibawakan secara medley.
Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menampilkan lagu-lagu hits Ziana dan Anuar yang diselangi dengan coleteh mencuit hati mengenai kisah perjalan seni masing-masing.
Antara lagu popular yang dipersembahkan Ziana adalah Puncak Kasih, Terlerai Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu dan Madah Berhelah.
Sementara Anuar pula menghiburkan peminat dengan lagu-lagu popularnya seperti Ketelusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.
Memberikan kelainan di dalam persembahan, penonton turut berpeluang menyaksikan mereka menyanyi secara duet menerusi lagu Sesuci Cinta Mu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan.
Malam penuh bersejarah itu turut menyaksikan gabungan kali pertama mereka dalam sebuah konsert di Kuala Lumpur.
“Akhirnya kita disatukan di Kuala Lumpur. Kali pertama konsert kami pada tahun 2010 di Singapura,” kata Ziana.
Terharu dengan sokongan dan kehadiran peminat, Anuar bersyukur apabila mereka sanggup meluangkan masa menghadiri konsert pada malam ini.
“Anda boleh pergi ke mana-mana, tapi anda pilih untuk berada di sini. Terima kasih kerana beri aura yang positif.
“Saya tak sangka masih lagi mendapat sokongan yang begitu kuat daripada anda semua,” kata Anuar yang sebak dengan respons yang diterima sehingga kini.
Pada konsert berkenaan, terdapat peminat yang gagal menahan air mata sebaik melihat artis pujaan mereka membuat persembahan.
Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu menyaksikan kehadiran rakan-rakan selebriti yang memberikan sokongan.
Antaranyaialah Misha Omar, Dafi, Datuk A Aida, Scha Al Yahya, Shuib, Awal Ashaari, Datuk Ziela Jalil, Ernie Zakri, Syamel, Fara Fauzana, Noryn Aziz dan Rozita Che Wan.
Tidak ketinggalan, konsert terbabit turut direstui dengan kehadiran ibu bapa selebriti itu iaitu Zin Abdullah dan Robiah Abdul serta anak-anak Ziana.
Pada penghujung konsert, Ziana dan Anuar mengumumkan berita gembira apabila bakal mengadakan konsert sama di Singapura pada 24 September depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Sarat mesej positif, filem Anak Rimau The Movie mampu memberi inspirasi kepada ibu bapa menggilap bakat serta potensi golongan anak muda dalam dunia sukan bola sepak.
Bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak, filem Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd mengangkat semangat dan perjuangan generasi baru dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak.
Mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy, filem yang menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Beto Kusyairy, Azhan Rani, Adam Corrie dan ramai lagi.
Anak saudara Sultan Pahang iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam turut membuat penampilan.
Penerbitnya, Fadzil Manap berkata, filem Anak Rimau The Movie mengetengahkan nilai positif membabitkan semangat berpasukan, kegigihan dan sikap tidak berputus asa dalam kalangan generasi muda untuk berjuang mencapai cita-cita.
“Banyak mesej penting yang mahu disampaikan dalam filem ini. Ia juga mengetengahkan elemen perpaduan, semangat nasionalisme, patriotik dan kepelbagaian kaum, sekali gus sesuai untuk tontonan pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.
Namun, kongsinya, bukan mudah menghasilkan filem menampilkan barisan pelakon muda yang tiada asas dalam bidang lakonan.
“Justeru, Keeklr Films mendapatkan khidmat guru lakonan, Fatimah Abu Bakar yang banyak membantu dari aspek emosi, penghayatan watak, menghafal dialog dan sebagainya.
“Selain itu, jurulatih AMD, Osmera Omaro turut menjadi penasihat kepada pelakon muda di lokasi penggambaran.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan prestasi lakonan ditampilkan barisan pemain bola sepak muda AMD termasuk aspek komitmen dan disiplin tinggi diberikan ketika penggambaran filem ini pada 2019,” katanya yang mengetengahkan bakat 11 pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari AMD.
Mengulas mengenai penggambaran filem, Fadzil berkata, idea menghasilkan filem tercetus pada April 2018 dan ia dimulakan tiga bulan kemudian membabitkan lokasi sekitar Pahang.
Penggambaran filem arahan Areel Abu Bakar itu selesai pada Ogos 2019 selepas 60 hari, di beberapa lokasi menarik seperti Pulau Tioman, Kuantan, Sungai Lembing, Beserah dan AMD.
“Selain cabaran dari segi cuaca panas terik dan hujan, kami terpaksa menggunakan khidmat feri untuk penggambaran di Pulau Tioman.
“Kami juga memiliki lokasi pantai di Beserah. Namun, penggambaran berdepan mencabar apabila perlu mengusung peralatan dalam Hutan Lipur Pandan, Kuantan ketika menjalani penggambaran di Air Terjun Panching.
“Kos membabitkan bajet besar disebabkan menggunakan khidmat lebih 2,000 pelakon tambahan termasuk remaja dan pelajar sekolah, terutama untuk babak dalam stadium.
“Lebih menarik, filem ini tidak menggunakan teknik imej janaan berkomputer (CGI),” katanya.
Filem Anak Rimau The Movie sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19. Ia turut mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.
Fadzil juga berharap agar filem Anak Rimau The Movie boleh menjadi inspirasi kepada golongan anak muda yang mempunyai cita-cita bergelar pemain bola sepak.
Anak Rimau The Movie akan ditayangkan serentak di 68 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 1 September depan.
Selain itu, lagu tema berjudul Pentas Dunia ciptaan Bajai dan lirik oleh Amylea Azizan turut dinyanyikan barisan pelakon seperti Idan, Kechikimi, Hanz Daniel, Wan Omar Daanyal, Joel Law dan Hakeem. Video muziknya sudah dilancarkan menerusi laman YouTube sejak 7 Julai lalu.
Filem Anak Rimau The Movie dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Kemeriahan Aidilfitri tahun ini semakin terasa apabila ramai penyanyi tempatan tampil melancarkan lagu raya dengan genre dan gaya tersendiri.
Terbaharu, penyanyi Izzue Islam dan Dehaniff...