
Penyanyi, Aina Abdul akui dia sebenarnya sudah menjangkakan kemenangannya di Anugerah Industri Muzik 24 (AIM24), baru-baru ini bakal menjadi bahan pertikaian segelintir pihak.
Menurut Aina, dia sudah biasa berdepan dengan situasi seperti ini, lebih-lebih lagi sewaktu bertanding di program seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Saya dah agak perkara ini akan berlaku. Saya sudah lalui sejak AJL lagi. AJL juga mematangkan saya kerana pencapaian saya sering dipertikaikan.
“Jadi, saya dah boleh jangka. Cuma saya tak sangka ia akan jadi sebesar ini. Saya harap isu ini akan segera reda. Rasa agak kekok juga saya nak keluar ke khalayak,” katanya kepada MH.
Aina berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran single terbaharu, Sesaat yang berlangsung di Courtyard By Marriot, Kuala Lumpur pada Rabu.

Percaya Pada Kredibiliti Juri
Aina pada masa sama percaya pihak juri telah membuat penilaian dengan adil dan teliti.

“Dalam isu ini, saya percaya semua orang ada pandangan masing-masing. Saya hormat individu yang menulis kenyataan itu.
“Bagaimanapun, saya percaya dengan kredibiliti para juri yang menilai. Mereka merupakan nama-nama besar.
“Jadi, kalau anda mempersoalkan sesuatu isu termasuklah pada aspek vokal, secara tidak langsung anda juga mempersoalkan penilaian juri yang lain.
“Pada saya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Namun, saya masih terima apa yang orang lain perkatakan,” kongsinya lagi.
Aina turut menegaskan cara nyanyiannya adalah berlandaskan ilmu dan bukan hanya sekadar memperjuangkan nada tinggi.

“Saya percaya, apa yang saya tampilkan itu bukanlah sekadar menjerit note tinggi. Saya juga datang daripada latar belakang yang mempelajari ilmu vokal.
“Saya tak buat sesuatu tanpa berfikir panjang. Saya juga ada cikgu-cikgu yang membimbing. Mereka semua berkaliber di dalam industri.
“Saya membawa ilmu-ilmu mereka di dalam diri saya. Saya tahu apa yang saya buat.
“Kesimpulannya, saya tak setuju dengan kenyataan itu. Saya rasa sebelum ini, ada sahaja pemenang-pemenang AIM yang pemenangnya lagu-lagu santai sahaja,” akhirinya.
Terdahulu, pada AIM24, Aina berjaya membawa pulang empat trofi iaitu Lagu Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Vokal Wanita Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




