
Usahawan selebriti, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid, menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-41 pada 14 Mac lalu dengan penuh rasa syukur.
Meniti usia 40an, isteri kepada ahli perniagaan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri ini mengakui refleksi kehidupannya lebih tertumpu kepada keluarga serta masa depan anak-anak.
Malah keutamaan hidupnya kini tidak lagi hanya berlegar pada pencapaian material, sebaliknya lebih menjurus kepada tanggungjawab membesarkan anak-anak dengan didikan yang sempurna.
“Bila saya berada di usia ini, saya sudah mempunyai anak yang ramai dan dari segi perniagaan, saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
“Alhamdulillah, nak kata bagus sangat itu tidak, tapi saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang,” katanya.
Shahida menambah, impian terbesar sebagai seorang ibu juga adalah untuk melihat anak-anak membesar sebagai individu berakhlak baik.
“Harapan saya supaya anak-anak menjadi insan yang baik. Saya sangat berharap anak sulung saya dapat menjadi pemimpin yang hebat kerana dia mempunyai ramai adik untuk dibimbing,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Shahida turut berkongsi doa yang sentiasa diamalkan setiap kali menunaikan solat, demi kesejahteraan pemata hatinya.
“Setiap kali solat, saya akan berdoa agar keturunan saya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, bukan sahaja untuk anak-anak saya, tetapi berterusan hingga ke cucu dan cicit,” katanya lagi.

Perbezaan Visi Perniagaan Bersama Suami
Berkongsi mengenai perancangan masa depan pula, Shahida mengakui pendekatan dirinya dalam dunia perniagaan agak berbeza berbanding Aliff.
Menurutnya, Aliff seorang yang berwawasan besar serta sentiasa mempunyai cita-cita tinggi dalam mengembangkan perniagaan, manakala dirinya pula lebih selesa dengan konsep bersyukur terhadap apa yang dimiliki.
“Saya dan suami memang berbeza. Dia seorang yang sangat berimpian besar, manakala saya lebih kepada bersyukur dengan apa yang ada.
“Misalnyq, suami saya ada impian untuk membuka sebuah pusat beli-belah. Kami berharap ia dapat direalisasikan satu hari nanti.
“Supaya kami dapat menyediakan produk berkualiti dengan harga yang berpatutan untuk semua, Insya-Allah,” katanya.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2007 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




