Berita

Noraniza Idris Sebak & Tahan Air Mata, Impian Sepentas Dengan Siti Jadi Kenyataan – “Yang Selalu Provok & Beri Persepsi Negatif, Ini Jawapannya.”

Share

Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris mengakui terkejut apabila menerima jemputan daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk tampil sebagai artis jemputan di Konsert Tradisional Gema Bumantara yang bakal berlangsung Oktober depan.

Menurut Noraniza, berita gembira itu turut dikongsikan kepada suaminya selepas dia mengambil masa beberapa hari untuk menyusun kata-kata kerana memahami perasaan suaminya yang mudah tersentuh.

“Saya sebenarnya sujud syukur selepas mendapat jemputan daripada pihak Siti Nurhaliza. Hampir dua hari juga saya tidak kongsikan kepada suami.

“Saya ambil masa untuk menyusun ayat kerana suami saya seorang yang cepat sedih. Dia hanya tahu saya menyanyi bersama Siti di dalam album.

“Dia tiada dalam sejarah kami menyanyi bersama. Bila dapat jemputan, dalam fikiran suami saya hanyalah untuk menonton sahaja. Dia tak terfikir saya akan dijemput untuk buat persembahan di atas pentas.

“Bila saya kata Siti jemput saya untuk buat persembahan. Dia terkejut dan ucap subhanAllah,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Ngajat Tampi itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Gemuruh, Tapi Anggap Penghargaan Sangat Tinggi

Dalam pada itu, Noraniza mengakui masih berasa gemuruh apabila namanya diumumkan sebagai antara artis jemputan bagi konsert berskala mega tersebut.

“Ketika itu, fikiran saya agak kosong. Kita sudah biasa melalui kegagalan dan macam-macam lagi. Bila ada jemputan, saya sentiasa letakkan jangan terlalu meletakkan harapan tinggi.

“Kadang-kadang rezeki dalam mulut pun boleh terluah. Tiga hari lepas pun saya masih tak boleh tidur. Ada perasaan takut, risau dan macam-macam lagi.

“Bila nama saya diumumkan juga rasa seram sejuk. Beliau adalah figura yang besar dan ini pula konsert mega. Saya tahu bagaimana pengorbanan nak buat konsert seperti ini.

“Saya salute dengan Siti. Bila dijemput buat persembahan sepentas, ia penghargaan yang sangat tinggi,” kongsinya lagi.

Noraniza turut sukar menahan perasaan sebak apabila impiannya untuk kembali berkongsi pentas bersama Siti akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama.

“Hati saya yang menangis. Ikutkan hati memang nak nangis sekarang tapi saya tidak mahu. Saya nak jadi kuat sehinggalah berada di pentas nanti. Mungkin selepas konsert saya akan menangis.

“Saya mahu sentiasa bersedia. Mulai hari ini, kita sudah ada sebelah kaki. Saya akan cuba buat sehabis baik untuk segmen yang telah diberikan dan jadikannya kenangan yang sangat indah.

‘Yang Selalu Provok, Hari Ini Jawapannya’

Mengulas persepsi segelintir pihak yang sebelum ini sering mengaitkan hubungan mereka dengan pelbagai spekulasi, Noraniza menyifatkan jemputan tersebut sebagai jawapan paling jelas terhadap segala dakwaan yang tidak berasas.

“Apabila orang selalu provok dan berikan persepsi negatif, hari ini adalah jawapanya. Apa yang mereka fikir selama ini, ternyata tidak benar.

“Persepsi seperti ini mungkin muncul kerana sudah lama kami tidak menyanyi bersama. Jadi, orang pun fikir macam-macam. Jadi, saya harap jari ini akan jadi jawapan terbaik.

“Siti sudah tolong jawabkan. Pada semua yang provok ini, saya hanya mengharapkan yang baik-baik sahaja. Kita nak hidup tenang,” akhirinya.

Terdahulu, Noraniza diumumkan sebagai salah seorang artis jemputan Konsert Tradisional Gema Bumantara.

Noraniza Idris atau mesra disapa Kak Ani bakal memeriahkan konsert tersebut bersama artis lain iaitu Haziq Rosebi serta dua penyanyi Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.

Published by
Aizam Manaf