Netizen Terharu Nabil Tumpangkan OKU Penglihatan Terkesan Isu LRT; “Terima Kasih Haji…”

Share

Penutupan selama seminggu 16 stesen LRT dari laluan Kelana Jaya ke Ampang Park ternyata memberi kesan buat pengguna yang sentiasa menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu untuk bergerak ke tempat kerja.

Mengambil inisiatif membantu seorang wanita kelainan upaya penglihatan (OKU), pengacara dan penyampai radio Era, Nabil Ahmad berbesar hati menumpangkan individu berkenaan bersama anak perempuannya yang ingin ke sekolah pada pagi Khamis.

Menerusi video yang dikongsikan di laman Instagram Era.je, Nabil dilihat mengambil wanita tersebut yang setia menggunakan stesen LRT Ara Damansara untuknya bergerak ke tempat kerja.

“Pagi ini Nabil tolong hantar Puan Uma dan anaknya. Puan Uma ni OKU penglihatan dan setiap pagi selama enam tahun dia akan menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja.

“Satu benda hari ini yang kita belajar dengan Puan Uma, kita yang sempurna ni kena sentiasa belajar bersyukur dan kekurangan bukan penghalang untuk meneruskan kehidupan seharian,” tulis admin Era.je di ruangan kapsyen.

Rata-rata netizen tersentuh melihat keikhlasan Nabil serta ‘kesusahan’ yang terpaksa dilalui wanita berbangsa India itu yang terkesan dengan penggantungan operasi LRT.

“Awwww baik la, semoga Allah balas jasa baik team Era dan Nabil. Teringat arwah atuk cakap jika kita senangkan kerja orang lain, Allah mesti tolong kita.

“Alhamdulillah, terima kasih Haji Nabil. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita semua.

“Bagus Haji Nabil, MasyaAllah semoga Allah permudahkan urusan awak dan diberkati hidup.

“I’m not crying… terharu sangat-sangat. Sangat tabah dan cekal Puan Uma ni.

“Terbaik Nabil. Semoga menjadi inspirasi kita untuk berbuat kebaikan,” komen beberapa netizen.

Sekadar info, Rapid Rail pada Rabu memaklumkan pihaknya menggantung operasi stesen LRT melibatkan laluan Kelana Jaya selama seminggu bermula semalam.

Stesen LRT yang digantung operasi ialah Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber:  Instagram Era.je

IKLAN