
Selebriti dan usahawan, Noor Neelofa kini secara rasmi mengesahkan dirinya sebagai pemegang saham majoriti aplikasi gaya hidup Muslim, TheNoor, sekali gus membuka lembaran baharu yang lebih teratur, matang dan progresif untuk jenama tersebut.
Sejak dilancarkan pada tahun 2020, aplikasi berkenaan mencatatkan pencapaian luar biasa dengan lebih 4.33 juta muat turun dan 650,000 pengguna aktif harian.
Aplikasi ini bukan sahaja digunakan di Malaysia, malah turut mendapat sambutan di hampir 200 negara termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Arab Saudi, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Neelofa sebelum ini tidak terlibat dalam operasi harian syarikat.
Namun bermula Ogos 2024, hos program Next To Neelofa ini mengambil alih sepenuhnya pengurusan TheNoor dengan visi baharu yang lebih telus, strategik dan fokus kepada pertumbuhan jangka panjang.
Langkah Pembaharuan
Antara langkah pembaharuan yang telah dilaksanakan termasuk melantik pasukan pengurusan kanan yang lebih kukuh, bekerjasama dengan syarikat teknologi bertaraf global dan memperkemas struktur organisasi.
Malah, pihaknya akan turut membangunkan semula aplikasi, merangkumi pelancaran TheNoor Pro yang dijangka diperkenalkan tidak lama lagi.
Bukan itu sahaja, aplikasi kini juga dalam fasa akhir menuju kerjasama strategik bersama sebuah konglomerat besar tempatan.
Antara projek yang paling dinantikan ialah integrasi aplikasi TheNoor ke dalam tujuh model kenderaan Proton, yang bakal membawa jenama ini ke dimensi baharu dalam dunia teknologi dan mobiliti.



Penstrukturan Semula
Selepas pengambilalihan pada Ogos 2024, Neelofa telah menjalankan semakan forensik menyeluruh kerana mendapati terdapat beberapa perkara dalam syarikat yang memerlukan penelitian semula.
Justeru, semakan forensik menyeluruh, audit kewangan terperinci serta penstrukturan semula organisasi dalaman telah dilaksanakan bagi memastikan TheNoor beroperasi di atas landasan yang lebih kukuh, telus dan berdaya saing.
Malah, Neelofa turut optimis dengan masa depan jenama tersebut dan yakin TheNoor masih mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
“Saya yakin TheNoor mempunyai potensi yang amat besar untuk berkembang jauh ke hadapan.
“Fokus kami kini ialah membina semula asas yang kukuh, meningkatkan ketelusan dan memperkenalkan inovasi yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti Muslim di seluruh dunia,” katanya.
Dengan fasa baharu ini, TheNoor dilihat bersedia melangkah ke peringkat lebih tinggi sebagai salah satu platform gaya hidup Muslim paling berpengaruh.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




