
Sering kali terpalit dengan kisah sensasi, usahawan dan selebriti, Neelofa berharap agar netizen tidak membanding-bandingkan kehidupan masa mudanya dengan apa yang sedang dilalui oleh adiknya, pempengaruh Ameera Khan.
Menurut Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, situasi yang dilaluinya dahulu sangat berbeza memandangkan mereka tidak berada dalam industri yang sama.

“Sebenarnya, kita tak boleh nak samakan kisah saya dan Ameera. Saya memang memulakan kerjaya dalam industri seni tetapi Ameera tidak.
“Di dunia media sosial sekarang, sesiapa pun boleh jadi terkenal dan dikenali ramai.
“Dahulu, orang hanya kisahkan mengenai kehidupan artis sahaja. Jadi, tak boleh nak bandingkan.
“Ameera bukanlah penyanyi, pelakon atau pengacara. Mungkin ini memang nasib dia,” katanya kepada MH.
Bekas pengacara MeleTOP itu berkata demikian ketika ditemui di Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan Lindung, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), baru-baru ini.
Syukur Dengan Perjalanan Hidup
Walau pernah berdepan pelbagai cabaran, Neelofa bagaimanapun tetap bersyukur kerana pengalaman lalu banyak mematangkan dirinya.

“Ini adalah sebahagian daripada asam garam menjadi orang yang dikenali. Saya dahulu bermula dalam industri yang dipenuhi dengan kontroversi.
“Untuk saya berada di tahap sekarang di mana saya boleh bertenang, tidak serabut dan boleh fokus dengan perkara yang saya mahu, saya sangat bersyukur.
“Saya berjaya harungi detik yang mencabar dan susah.
“Bermula daripada mencari identiti dan apa yang patut dilakukan, kini saya lebih fokus kepada keluarga dan kehidupan yang lebih tenang.
“Kini saya lebih banyak mensyukuri,” kongsinya.
Diminta mengulas mengenai hubungan cinta Ameera bersama pelakon Indonesia, Jefri Nichol yang kini hangat diperkatakan, Neelofa memilih untuk tidak memberikan sebarang komen.

Jelasnya, ada perkara yang lebih baik disimpan sendiri kerana bimbang kenyataannya hanya akan mengundang reaksi negatif.
“Saya rasa, lebih baik saya simpan komen itu untuk diri sendiri.
“Pada saya, ada sesetengah soalan tak perlu untuk dijawab sangat kepada orang ramai kerana ia akan mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikkan.
“Jawab atau tidak, orang tetap akan kecam. Lebih baik, kita senyap sahaja. Kalau hal berkaitan diri saya, saya akan jawab,” kongsinya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




