Nadiya Nisaa Respek Kerjaya Penyampai Radio

BERIKANLAH apa sahaja watak kepadanya, pasti tugasan itu mampu dilaksanakan Nadiya Nisaa dengan sebaik yang mungkin tidak kiralah menerusi penampilannya di layar lebar, drama TV mahu pun pentas teater.

Menyatakan komitmennya yang begitu tinggi pada dunia lakonan, Nadiya mahu kekal aktif sebagai pelakon meskipun ada kala tersepit dengan trend semasa industri yang meletakkan aspek komersial sebagai keperluan utama.

Bagaimanapun kemunculan Nadiya sebagai penyampai radio IM4U sepanjang Ogos lalu mengejutkan ramai peminatnya sehingga ada yang beranggapan pelakon yang mula dikenali menerusi drama Adam dan Hawa ini sudah beralih arah ke konti radio.

“Saya harap tidak ada yang salah faham dengan penampilan saya sebagai penyampai radio IM4U baru-baru ini kerana penampilan itu hanyalah sebagai penyampai jemputan selama sebulan bagi menggantikan salah seorang penyampai mereka yang cuti bersalin.

 

“Jujurnya saya sendiri seperti tidak percaya berani mengambil tanggungjawab ini, namun disebabkan ketika itu tawaran lakonan yang datang tidak begitu menarik, saya merasakan mungkin lebih baik saya belajar benda baru menerusi peluang ini.

 

“Memang saya tidak ada asas atau pengalaman langsung di konti radio, namun menerusi pihak IM4U dan rakan-rakan penyampai yang lain, berjaya juga saya lakukan tugas itu dengan sebaiknya sehingga ada yang ingat saya sudah bekerja tetap di situ,” katanya.

Meskipun menerimana respons yang baik daripada pendengar yang mengikuti slot kendaliannya sebagai penyampai, Nadiya memberitahu tidak akan terlibat secara serius dalam bidang ini kerana merasakan ia bukanlah tugas yang mudah untuknya.

IKLAN

“Mungkin ramai yang fikir tugasan sebagai penyampai radio itu sangat mudah dan hanya perlu bercakap serta memainkan lagu sahaja, namun ia sebenarnya lebih daripada itu.

 

“Saya respect sangat kerana mereka perlu ada kemahiran bercakap serta bijak menarik perhatian orang di luar sana untuk terus mendengar celoteh mereka sepanjang tugasan.

 

“Biarpun cukup seronok sepanjang sebulan bertugas sebagai penyampai, saya rasa cukuplah setakat itu sahaja kerana tak rasa saya ada kemahiran bercakap yang bagus untuk tugas itu,” katanya.

Menyentuh tentang kerjaya lakonan yag menjadi keutamaannya, Nadiya meluahkan rasa syukur apabila masih lagi diberikan kepercayaan untuk menjayakan pelbagai watak meskipun sudah lebih setahun dia tampil dengan imej bertudung litup.

“Alhamdulillah semuanya berjalan seperti biasa, cuma saya sahaja yang perlu lebih bijak untuk memilih watak mana yang bersesuaian dengan penampilan saya sebagai wanita bertudung sekarang.

 

“Memang saya akui kini banyak mendapat watak sebagai wanita sopan atau ibu-ibu, namun saya masih berpeluang untuk memilih karakter yang dirasakan kuat dan berbaloi untuk saya lakonkan dengan cara saya.

 

“Saya masih boleh buat watak-watak yang saya suka nak buat, namun ia mungkin dalam keadaan dan keperluan yang berbeza daripada yang pernah dilihat sebelum ini,” katanya yang bakal tampil menerusi siri popular Oh My English musim terbaru tidak lama lagi.

Hampir setiap tahun tercalon di FFM

Nadiya yang sebelum ini pernah memahat nama di Festival Filem Malaysia (FFM) apabila dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita Terbaik (FFM24) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (FFM27), sekali lagi bertanding di FFM29 yang bakal berlangsung pada 23 September ini menerusi filem Redha dan Interchange.

“Alhamdulillah saya gembira apabila kerja-kerja lakonan saya turut mendapat pengiktirafan dalam di FFM, namun jujurnya saya tidak pernah meletakkan sasaran itu setiap kali membuat pertimbangan dalam menerima sesuatu tawaran.

 

“Apa yang saya pentingkan setiap kali dapat tawaran selain naskhahnya adalah dengan siapa saya bekerja baik pengarah mahupun pelakonnya dan apa yang saya boleh berikan untuk watak itu,

 

“Apa yang boleh dikatakan adalah saya hanya melakukan kerja yang diamanahkan dengan sebaik yang mungkin kerana menganggap ia sebagai satu tanggungjawab yang harus disempurnakan.

Biarpun hampir saban tahun namanya tercalon di FFM menerusi pelbagai filem lakonannya, Nadiya tidak pernah menjadikan ia sebagai ukuran untuk meletakkan kerjaya lakonannya kini sudah berada di tahap terbaik.

IKLAN

“Perjalanan saya dalam bidang ini masih sangat jauh dan pengalaman juga masih terlalu sedikit berbanding penggait seni lain di mana masih banyak ilmu yang perlu saya explore sebelum nak rasa selesa dengan kedudukan hari ini.

 

“Apapun saya seronok apabila hampir setiap tahun berpeluang menghadiri FFM kerana itulah peluang untuk semua penggiat seni berkumpul dan meraikan kejayaan rakan-rakan yang diangkat pada festival itu dan bukan semata-mata kerana turut tercalon,” ujarnya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem terbarunya, Mak.

Meninggalkan jauh episod suram yang dilaluinya lebih setahun yang lalu saat kehilangan anak keduanya dalam kandungan, Nadiya mengakui kini lebih positif dalam menangani dugaan yang datang.

“Saya kini semakin menghargai semua orang yang berada di sekeliling saya dan begitu positif menjalani hidup saya kini.

 

“Alhamdulillah semuanya dalam keadaan yang baik dan anak lelaki saya, Omar, juga semakin membesar dan bakal masuk sekolah sarjah satu pada tahun depan.

 

“Jadi semestinya peranan saya sebagai seorang ibu akan lebih lebih mencabar selepas ini, apatah dengan keadaan semasa yang menuntut kita untuk lebih berwaspada dengan semua perkara yang berlaku di sekeliling,” akhirinya.