Wan Suraya, wartawan penyiaran Sinar TV mengikut rapat perkembangan syarikat Anak Bumi setelah syarikat itu dikhabarkan bakal terlibat dengan projek empangan jutaan ringgit.

Namun tanpa sengaja, dia menjadi antara saksi kemalangan yang mengorbankan pemilik syarikat dan anaknya, Salina.

Serangan pelik yang berlaku ke atas pekerja syarikat Anak Bumi terus menarik minat Wan Suraya untuk ‘menyiasat’ perkara yang berlaku.

Siasatan demi siasatan akhirnya membawa Wan Suraya bertemu Ejim @ Tombiruo secara tidak sengaja.

Dia juga seterusnya menjadi saksi yang mendedahkan siapakah Ejim yang sebenarnya.

IKLAN

Begitulah antara perjalanan watak Wan Suraya lakonan pelakon berbakat besar, Nabila Huda di dalam filem adaptasi novel karya novelis terkenal, Ramlee Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba.

Berkongsi pengalaman berlakon di bawah arahan dua pengarah berbeza iaitu Nasir Jani dan Seth Larney, Nabila yang mesra di sapa Abil berkata, dia berpeluang menimba pengalaman berharga sepanjang tempoh penggambaran.

“Bagi saya ini adalah team produksi yang paling sistematik. Jadualnya teratur dan pelakon tidak perlu bazir masa menunggu di set. Penggambaran juga bermula mengikut jadual dan pengarah tahu apa yang mereka lakukan,” katanya yang mengikuti sesi latihan dan kelas lakonan bersama guru lakonan, Fatimah Abu Bakar.

Tambah Nabila, watakWan Suraya juga memberi satu pengalaman baru sepanjang penglibatannya sebagai pelakon.

IKLAN

“Karakter Wan Suraya ini tidak sukar tapi bagi saya ia berat sebab antara penggerak jalan cerita yang merungkai persoalan di awal filem.

 

“Untuk karakter wartawan penyiaran, saya banyak merujuk cara rakan media menemu ramah dan lihat cara mereka bekerja di TV.

 

“Bagi saya babak paling sukar adalah babak akhir di mana kami perlu berada dalam hujan dan penggambaran bermula dari pagi.

 

“Jadi disebabkan malas nak tunggu basah dek air dari pili bomba, saya sanggup turun ke sungai untuk basahkan diri di awal pagi. Memang menggigil juga tapi lagi puas,” imbaunya.

Bagi memberi lebih kepuasan, Nabila turut melakukan aksi di dalam filem ini di mana dia dicampak.

“Mereka tanya saya sama ada nak pakai stunt atau nak buat sendiri. Lagipun mereka dah pakaikan saya dengan padding dan asas keselamatan, jadi tidaklah sampai cedera,” jelasnya yang tidak menolak terlibat di dalam sekuel Tombiruo jika ada.

Selain Nabila, Tombiruo: Penunggu Rimba  yang akan menemui penonton pada 12 Oktober depan membariskan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Datuk M Nasir, Faizal Hussien dan Farid Kamil.

Terseksa mental emosi

Sementara itu, ditanya pengalamannya menawan Gunung Annapurna, Nepal awal September lalu, Nabila mengakui itu satu pengalaman baru.

IKLAN

Jelas Nabila, dia sendiri tidak pasti mengapa dia meletakkan misi memanjat gunung itu sebagai salah satu impiannya apatah lagi tidak pernah melakukan aktiviti pendakian sebelum ini.

“Perjalanan dan pendakian tanpa bayaran tapi saya bertuah sebab ada volunteer  merakam pendakian saya sebagai kenangan.

 

“Lucunya sebelum memulakan pendakian saya tidak sempat berlatih sebab sibuk dengan penggambaran Dendam Aurora.

 

“Pendakian saya pada ketika itu lebih kepada sesi mencabar diri dan pengalaman untuk diri sendiri,” ujarnya.

Namun Nabila tidak menyangka misi itu sebenarnya tidak semudah disangka sehingga membuatkan dia hampir berputus asa.

“Cabaran-cabaran yang terpaksa saya lalui membuatkan saya rasa terdera dari segi mental dan emosi. Ada ketika saya rasa berputus asa.

 

“Malah saya pernah menghubungi suami saya dan memohon maaf serta meminta dia menjaga anak saya sebaik mungkin.

 

“Tapi Alhamdulillah dengan sokongan padu banyak pihak, saya akhirnya dapat selesaikan pendakian dan saya tak pasti lagi akan meneruskan pendakian lagi selepas ini,” akhirinya sambil ketawa.

TEKS : AQMAR MUSTAZA, FOTO: SHARIFUDIN ABD RAHIM

 

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI