Berita

“Mudah-mudahan Allah SWT Membantu Dia Dengan Memberikan Kemenangan,” – Ibu Syed Saddiq

Share

Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman iaitu Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, tiba di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya kira-kira jam 7.40 pagi tadi bagi memberikan sokongan kepada anakanda tercinta.

Sebelum menuju ke kaunter pendaftaran, Sharifah Mahani yang mengenakan persalinan baju kurung hijau sempat menyapa beberapa kenalan serta bersalaman dengan bakal menantunya yang juga pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.

Titip Doa Buat Anak

Ketika ditemui, Sharifah Mahani memanjatkan doa agar keputusan mahkamah pada hari ini memihak kepada anaknya.

“Mudah-mudahan Allah SWT membantu dia dengan memberikan kemenangan pada hari ini, sayang,” katanya kepada MH.

Keputusan Rayuan Akhir Diketahui Hari Ini

Nasib Syed Saddiq sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akan diketahui pagi ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada jam 9 pagi.

Published by
Aizam Manaf