Pelakon Indonesia kelahiran Malaysia, Miller Khan, 38, mendedahkan dia dan isterinya, Farina Rebecca, 34, kini dalam usaha mendapatkan zuriat menerusi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut Miller atau nama sebenarnya, Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan, keputusan untuk menjalani rawatan tersebut dibuat setelah saling berbincang dengan isteri dan ahli keluarga yang lain.
“Kami sudah berkahwin selama tiga tahun tetapi belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata. Jadi kami merancang untuk lakukan IVF.
Doakan semuanya berjalan lancar. Ini percubaan kali pertama kami dan prosedur itu akan dilakukan di Jakarta, Indonesia,” katanya kepada MH.
Pelakon sinetron Takdir Cinta Yang Kupilih itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Larrie di Hyatt Centric KL, pada Rabu.
Ads
Pada majlis itu, Miller turut diumumkan sebagai duta bagi jenama sepatu terkenal itu bagi pasaran Malaysia dan Indonesia.
Faktor Umur Antara Sebab
Ditanya mengenai keputusan untuk menjalani IVF meskipun usia perkahwinan baru mencecah tiga tahun, Miller mengakui faktor usia menjadi antara sebab mereka mengambil langkah tersebut.
Ads
“Bagi saya, kami bukanlah pasangan yang muda lagi. Malah, sebelum buat keputusan ini, kami sudah berbincang secara serius dan kita berdua saling sepakat.
“Kami juga turut berkongsi dan meminta pandangan mengenai perkara ini dengan ahli keluarga masing-masing.
“Mudah-mudahan ada rezeki untuk kelahiran yang pertama ini. Buat masa ini, ia masih pada fasa awal dan sedang mendapatkan khidmat nasihat,” jelasnya lagi.
Ads
Untuk rekod, Miller mendirikan rumah tangga bersama Farina, yang juga seorang pereka fesyen, pada 10 November 2021.
Majlis ijabkabul pasangan itu diadakan secara tertutup di Bali, Indonesia dengan dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Duo pereka fesyen dari FM Group, Farel Mikhail dan Jonathan Kok, berdebar menanti reaksi masyarakat terhadap lagu raya pertama terbitan mereka, Si Gadis Lebaran, yang dinyanyikan oleh Aliff Azman.
Lagu ciptaan bersama Tya Amida dan Farel sendiri ini merupakan satu percubaan berani oleh FM Group dalam meneroka bidang muzik.
Menurut Farel, yang juga Pengarah FM Group, keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu hadir setelah melihat usahawan selebriti terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri yang berjaya menapak dalam dunia nyanyian.
“Tak dinafikan memang ada yang cakap, kalau dah jadi designer tu, tak payah sibuk nak cipta dan terbitkan lagu. Fokus sahaja dunia fesyen katanya.
“Bagi saya dan Jonathan, tak salah kami nak mencuba sesuatu yang baharu. Lagi pun fesyen dan dunia seni saling berkaitan. Belum cuba belum tahu.
“Biarlah apa orang nak cakap, kami ambil semangat Datuk Seri Aliff Syukri yang berani mencuba sesuatu yang baharu. Lihat beliau, orang nak kata apa sekalipun, dia tetap teruskan menyanyi.
“Beliau inspirasi kami. Semangat serta keberanian yang ditonjolkan dalam media sosial sebenarnya memberi dorongan kepada kami mahu pun orang lain yang mungkin masih ragu-ragu membuat keputusan dan takut menanggung risiko.
“Selain itu, antara tujuan kami buat lagu raya ini bukanlah sekadar nak memeriahkan sambutan Syawal dan industri muzik, tapi juga nak berkongsi bakat dalam bidang penulisan lagu,” katanya.
Farel berkata demikian ketika ditemui dalam acara Beautiful Malaysia: Celebrating Malaysia Foods, Arts, Culture and Fashion di Grandmama, Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur.
Lagu Si Gadis Lebaran mengisahkan seorang wanita yang kelihatan anggun dan bergaya di pagi raya, dengan kejelitaannya semakin menyerlah apabila mengenakan busana tradisional Melayu.
Farel tidak menafikan bahawa penghasilan lagu ini adalah langkah pertamanya untuk lebih serius dalam bidang muzik.
“Ketika membuat lirik lagu ini, saya terbayangkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ini kerana, penampilan beliau yang sinonim dengan imej wanita Melayu.
“Bukan itu sahaja, beliau juga antara penyanyi yang mempunyai banyak lagu raya yang popular dan menjadi siulan ramai.
“Beliau juga merupakan bintang yang sentiasa memartabat budaya Melayu. Kami kagum sangat, di sebalik nama besar yang dibina, beliau tak pernah lupa akar budaya kita,” katanya.
Menurut Farel, percubaan pertamanya mencipta lagu dan lirik merupakan langkah awal sebelum melangkah lebih jauh dalam dunia muzik.
“Ada juga yang bertanya, kenapa tidak kami saja yang nyanyi lagu tersebut. Sebenarnya saya tiada bakat dalam menyanyi, tapi dalam cipta lirik dan melodi tu, saya berusaha yang terbaik dalam menggilap bakat yang ada.
“Saya sebenarnya serius dalam bidang ini. Selepas ini mana tahu saya boleh cipta lagu dan bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL). Insya-Allah, kalau ada rezeki, kita tak mampu tolak.
“Namun, masih banyak yang perlu saya belajar lagi. Kena buat banyak research, hadiri kelas yang sesuai dan mungkin dalami seni muzik. Semua itu perlukan proses,” katanya.
Dalam acara sama, Farel dan Jonathan turut mempersembahkan koleksi rekaan mereka, iaitu 13 jenis busana wanita Melayu dari pelbagai negeri di Malaysia.
“13 jenis rekaan busana wanita Melayu di Malaysia yang kami bawakan bukan sahaja sesuai dipakai ketika hari raya, malah pada hari lain juga. Boleh dikatakan juga 13 rekaan itu mewakili setiap negeri di Malaysia.
“Rekaan bermotifkan songket serta batik ini berinspirasikan wanita Melayu misalnya Puteri Perak untuk negeri Perak, Cik Siti Wan Kembang (Kelantan), Kebaya Sulam (Pulau Pinang), Kurung Riau (Johor) dan banyak lagi.
“Untuk 13 rekaan ini, saya turut bekerjasama dengan pereka fesyen dari Sarawak, Melakar, Pulau Pinang dan Kedah dalam memenuhi tema tradisional wanita Melayu,” katanya.
Malah Farel optimis menjelaskan Beautiful Malaysia adalah salah satu usaha dalam mengekalkan seni kebudayaan negara dan turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Untuk rekod, FM Group yang juga penganjur festival fesyen Precious of Malaysia sebelum ini pernah menerbitkan buku Pesona Kebaya secara eksklusif.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, berkenan mencemar duli melancarkan buku Pesona Kebaya – Enchanting of Kebaya (Dwi-Bahasa) itu di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, tahun lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penerbit terkenal, Datuk A Aida, tidak menafikan sedang menjalin hubungan rapat dengan seorang lelaki berstatus vip (very important person) berstatus duda yang dikenalinya sejak pertengahan tahun lalu.
A Aida, atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 55, bagaimanapun, masih belum bersedia untuk mendedahkan identiti lelaki tersebut kepada umum.
“Kami mula berkenalan sejak Julai tahun lalu dan menjadi semakin akrab sekitar Disember. Setiap kali kami keluar ‘dating’, dia suka mencatat. Jadi, dia tahu sudah berapa lama kami tidak berjumpa.
“Buat masa ini, kami masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing. Dia seorang duda dan mempunyai dua orang anak.
“Memang prinsip saya untuk tidak mengambil suami orang kerana saya tidak mahu melukai hati wanita lain. Apabila mengetahui dia seorang duda, saya rasa tiada masalah,” katanya.
Pemilik rumah produksi A Aida Production itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui dalam program agihan bubur lambuk anjuran Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya, pada Isnin.
Ditanya mengenai kemungkinan hubungan mereka bakal ke fasa seterusnya, A Aida menyerahkan perkara itu kepada ketentuan takdir.
“Soal jodoh, semuanya di tangan Allah. Kita hanya mampu merancang. Buat masa ini, kami masih dalam proses mengenali satu sama lain dan hubungan kami memang rapat.
“Dia berusia 56 tahun, manakala saya 55, hanya beza setahun. Sejak tujuh tahun lalu, saya selalu berdoa agar jodoh terakhir saya sebaya dengan saya.
“Biarlah kami meniti usia tua bersama. Memang ada yang sebaya cuba mendekati saya sebelum ini, tetapi hati tidak pernah terbuka. Dengan dia, lain rasanya, seperti ada ‘spark’. Anak-anak saya juga menyukainya,” katanya lagi.
Mengulas mengenai keistimewaan lelaki tersebut di matanya, A Aida mengakui tertarik dengan raut wajahnya yang manis.
“Kita mesti mahu lihat rupa dahulu, bukan? Wajahnya ‘sweet’, cuma dia sedikit berisi. Saya minta dia ke gimnasium untuk menurunkan berat badan.
“Saya beri dia masa untuk kurus dahulu. Selepas itu, barulah boleh berbincang soal kahwin,” katanya berseloroh.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Memasuki minggu kedua Ramadan, suasana persiapan Hari Raya Aidilfitri pastinya menjadi semakin rancak dengan pelbagai tawaran menarik ditawarkan di pelbagai lokasi jualan perayaan.
Jadi jika anda masih mencari lokasi terbaik untuk membeli-belah sambil berhibur, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi Suria KLCC pada hujung minggu ini!
Ini kerana pada 15 dan 16 Mac ini, Astro One membawakan program istimewa Nyam Nyam Ketupat yang akan berlangsung di Center Court, Suria KLCC dari jam 3 petang hingga 9 malam.
Acara ini bukan sekadar lokasi membeli-belah terbaik, tetapi turut dimeriahkan dengan penampilan eksklusif selebriti terkenal tanah air seperti Wani Kayrie, Zizan Razak, Nadeera Zaini, Hael Husaini dan ramai lagi.
Malah, segala teka-teki mengenai teaser Nyam Nyam Ketupat yang hangat diperkatakan di media sosial juga bakal terjawab pada acara ini nanti.
Bagi peminat muzik, anda pasti teruja dengan persembahan istimewa daripada barisan artis Astro yang kini giat mempromosikan lagu raya terbaru masing-masing.
Sementara itu pada Ahad (16 Mac), kemeriahan Nyam Nyam Ketupat diteruskan dengan sesi ramah mesra bersama barisan pelakon drama terbitan Astro seperti Dia Imamku, Honey Minta Maaf, Seribu Tahun, One Cent Thief 2 dan First Wives.
Antara selebriti yang dijangka hadir termasuk Kamal Adli, Fikhree Bakar, Evertts Gomes, Ropie, Azri Safix dan ramai lagi.
Selain bertemu selebriti, anda juga boleh mengunjungi booth Astro One yang akan beroperasi sehingga 18 Mac ini untuk mendapatkan tawaran menarik serta pelbagai goodies!
Malah, pengunjung bertuah juga berpeluang memenangi hadiah istimewa bernilai sehingga RM200,000 apabila melanggan atau menaik taraf ke mana-mana pakej Astro One.
Antara hadiah menarik lain yang menanti termasuk TV, tablet, telefon, baucar beli-belah (Shopee & Touch ‘n Go), peralatan memasak Le Creuset, dan banyak lagi.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri kemeriahan Nyam Nyam Ketupat dan alami suasana ‘Meriah Lain Macam’ bersama Astro pada musim perayaan ini!
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.