
Tersentuh dengan kisah anggota polis yang menangguhkan majlis perkahwinan kerana kekangan bajet, usahawan dan penyanyi, Mila Jirin berhasrat membantu mereka meraikan hari bahagia tanpa terbeban dengan tekanan kewangan.
Mila atau nama sebenarnya Norsyarmila Jirin, 38, berkata ramai pasangan muda dalam kalangan anggota polis berdepan dilema antara mahu mengadakan majlis indah atau menyesuaikan dengan kemampuan sebenar.
Justeru, beliau mengambil inisiatif menawarkan pakej perkahwinan mampu milik di bawah syarikatnya, Bizmilla, melalui skim pembiayaan khas daripada Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).
“Ramai yang saya dengar terpaksa tangguh perkahwinan sebab kekangan bajet. Jadi saya mahu Bizmilla jadi sebahagian daripada penyelesaian itu supaya mereka tetap boleh capai majlis impian tanpa stres kewangan.
“Ini bukan strategi komersial semata-mata, tetapi misi sosial untuk membantu mereka yang banyak berkorban demi keselamatan negara. Kami mahu mereka menikmati majlis bertaraf hotel 5 bintang dalam bajet yang mampu milik.
“Pakej ini direka khas untuk meringankan beban pasangan muda agar mereka boleh fokus pada makna sebenar perkahwinan, bukan stres tentang kos,” katanya.
Terdahulu pada 2 Oktober lalu, Bizmilla Wedding Centre dan KPDRM telah melancarkan kolaborasi rasmi di Bizmilla Grand Palace Ballroom, Subang Jaya.
Menerusi kerjasama ini, anggota KPDRM boleh menikmati pakej perkahwinan eksklusif Bizmilla dengan kemudahan pembayaran ansuran bulanan melalui potongan koperasi serendah RM163.20 sebulan, meliputi dewan, katering, dekorasi, busana pengantin, pelamin, serta fotografi dan videografi.






Bukan Sekadar Bisnes, Tapi Misi Sosial
Tambah Mila, pemilihan KPDRM sebagai rakan strategik adalah kerana nilai kepercayaan dan integriti yang menjadi asas koperasi itu, selain menghargai pengorbanan anggota polis yang berkhidmat untuk negara.
“Bizmilla dibina atas kepercayaan pelanggan selama lebih 10 tahun. Jadi apabila bergabung dengan koperasi yang dinaungi ribuan anggota polis, kami tahu kolaborasi ini bukan sekadar urusan perniagaan, tapi tanda penghargaan.
“Proses membina sistem pembiayaan itu juga melalui penelitian rapi bagi memastikan setiap transaksi dibuat secara telus, profesional dan patuh syariah.
“Kami mahu Bizmilla dikenali bukan hanya sebagai penyedia dewan dan katering, tetapi jenama yang memahami realiti rakyat. Bila kita bantu orang capai bahagia, rezeki dan keberkatan akan datang dengan sendiri,” katanya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




