Berita

Mierul Aiman Ulas Isu Dibandingkan Dengan Zarif Ghazzi, Tegaskan Kejayaan Milik Satu Pasukan – “Ini Bukan Satu ‘Competition’…”

Share

Pelakon Mierul Aiman tidak melihat wujudnya persaingan apabila ada pihak yang membandingkan dirinya dengan rakan artis yang turut sama terbabit menerusi filem terbaharu, Kudrat 1968: High Council, Zarif Ghazzi.

Menurut Mierul, situasi tersebut bukanlah satu bentuk persaingan kerana setiap naskhah yang dibawa merupakan hasil kerja berpasukan demi hasil yang terbaik.

“Saya percaya ini bukan satu persaingan. Ini adalah sebuah cerita dan kami bekerja sebagai satu pasukan.

“Ia bukan permainan solo, namun kerja berkumpulan. Malah, perkara itu juga tidak pernah terlintas dalam fikiran saya sehingga hari ini,” katanya kepada MH.

Mierul berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana episod pertama Kudrat 1968: High Council di TGV Cinemas, Kuala Lumpur Convention Centre, pada Khamis.

Fokus Sampaikan Mesej Cerita Kepada Penonton

Mengulas lanjut, Juara Hero Remaja 2021 itu berkata, keutamaannya sebagai pelakon adalah memastikan mesej serta jalan cerita dapat disampaikan dengan jelas kepada penonton.

“Mencapai objektif cerita itu yang paling penting. Babak ini, cerita ini, kepada penonton, itulah misi saya.

“Tidak kira sama ada drama, telemovie, siri atau filem, objektif saya sebagai karakter dan mesej keseluruhan cerita itu perlu sampai. Itu yang paling utama.

“Jika wujud perbandingan atau perbezaan, saya melihatnya lebih kepada persaingan, dan bagi saya ia tidak mempunyai nilai dalam perspektif saya,” jelasnya.

Anggap Sokongan Peminat Sebagai Perkembangan Sihat

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri High Council itu mengakui tidak kisah sekiranya perbandingan tersebut datang daripada peminat, malah menyifatkannya sebagai sesuatu yang positif.

“Saya melihatnya sebagai sesuatu yang sihat dan saya seronok.

“Dari sudut pemasaran, ia membantu karya ini sampai kepada audiens yang tepat, iaitu bagi mereka yang benar-benar meminati naskhah ini serta para pelakonnya.

“It is a healthy growth. Saya sangat gembira melihatnya,” katanya lagi.

Malah, Mierul turut menyifatkan sokongan peminat sebagai elemen penting dalam memacu perkembangan industri kreatif tempatan.

“Saya melihat industri kreatif kita kini sedang berkembang dengan baik.

“Sokongan daripada peminat inilah yang menjadi penggerak dan memberi keyakinan bahawa apa yang kami lakukan berada di landasan yang betul,” katanya.

Untuk rekod, Mierul antara watak utama yang membawakan karakter Kuda dalam projek Kudrat 1968: High Council.

Turut membintangi naskhah tersebut ialah Evertts Gomes, Nabila Huda, Zarif Ghazzi serta barisan pelakon lain.

Karya arahan Zulaikha Zakaria itu bakal menemui penonton secara eksklusif di pawagam bermula 11 September depan.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza