Meerqeen Pilih Tak ‘Demand’ Harga – “Apa Yang Saya Mahu Hanyalah Bayaran Setimpal.”

Share

Pelakon meningkat naik, Meerqeen tidak melabelkan dirinya sebagai seorang selebriti tanah air yang ‘mahal’ meski pernah berkerjasama dengan jenama fesyen antarabangsa seperti Dior, Coach dan Adidas dalam projek khas.

Sebagai pendatang baru dalam dunia hiburan, finalis Hero Remaja 2020 ini berkata, dia sebolehnya tidak mahu menetapkan kadar bayaran terlalu mahal.

Jelas pelakon drama bersiri Angkara Cinta ini, apa yang diterima biarlah setimpal dan memadai dengan setiap perkerjaan yang dilakukan.

“Sejujurnya, saya tidak meletakkan harga yang terlalu mahal atau mahupun bersikap ‘demand’ terhadap soal kadar bayaran kepada saya.

“Pada saya, soal kadar bayaran bukan satu keutamaan kepada diri saya, apa yang saya mahu hanyalah bayaran yang setimpal kepada saya, soal bayaran ini cuma sekadar sebahagian daripada karier penggiat seni,” katanya.

Pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam menambah, nilai kemahiran dan pengalaman dalam dunia lakonan menjadi fokusnya ketika ini, berbanding soal kadar bayaran.

Malah dia sendiri mahu lebih cari ilmu dalam seni sementelah baru diterima ramai.

“Pada saya kemahiran dan pengalaman itu adalah lebih penting berbanding mengenai kadar bayaran kepada seseorang pelakon sebab dengan pengalaman itu kita boleh mengasahkan bakat lakonan,” katanya lagi.

Merqeen berkata demikian pada sidang media pelancaran rancangan permainan terbaharu, Ceria Xtra #DudukRumah baru-baru ini.

Bintang ini menjadi antara 16 selebriti tanah air yang turut terlibat dalam rancangan permainan terbaharu kanak-kanak itu.

Program ini lakukan secara kerjasama Astro Ceria dan produksi Red Communications Sdn Bhd yang sebelum ini turut menerbitkan siri popular ‘Oh My English’ dan ‘SMK’.

Selain Merqeen, selebriti lain yang terbabit dalam rancangan ini termasuk Dato’ AC Mizal, Nabila Huda, Mark Adam, Ajak Shiro, Shahrol Shiro, Sean Lee, Sarah Suhairi dan Atu Zero.

Turut sama terlibat ialah artis versatil Zulin Aziz, Norreen Iman, Erissa Puteri, Fikry Kiki, Bibi Qairina, Coki dan bintang remaja, Aisar Khaled.

Dalam setiap episod, dua selebriti popular akan diangkat sebagai Kapten dan mereka akan membentuk kumpulan masing-masing.

Setiap Kapten akan disertai dengan tiga (3) orang pemain yang dibarisi oleh ahli keluarga masing-masing, kawan dan juga peminat.

Ceria Xtra #DudukRumah bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam di saluran Astro Ceria, Astro Go dan On Demand sejak 10 September lalu.

Foto: Instagram Meerqeen

IKLAN